Home Semasa ESSCom perlu peruntukan tambahan – Azis Jamman

ESSCom perlu peruntukan tambahan – Azis Jamman

by Air Times News Network

KOTA KINABALU, 22 Sept – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) memerlukan peruntukan tambahan bagi melancarkan operasi penguatkuasaan, khususnya di perairan negeri, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman.

Katanya ESSCom antara agensi yang menerima peruntukan kecil dan jika tidak ditambah akan menyukarkan pasukan keselamatan itu menjalankan operasi mengekang anasir jahat daripada menceroboh sempadan negara.

“Kawasan pantai timur Sabah sangat luas dan kalau ESSCom tidak mempunyai peruntukan yang cukup, ini satu perkara yang saya rasa perlu kerajaan ambil perhatian.

“Dalam bajet negara akan datang, saya ada minta Kementerian Kewangan agar bajet untuk Kementerian Dalam Negeri ditambah, khususnya yang melibatkan agensi penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Mesej Dari Penjara’ peringkat negeri di sini hari ini.

Mohd Azis berkata demikian ketika diminta mengulas insiden dua lelaki dipercayai penculik yang ditembak mati pasukan keselamatan di perairan Kunak pada malam Khamis lepas.

Beliau turut melahirkan komitmen kerajaan untuk mengkaji semula kebenaran menggunakan bot pam di pantai timur Sabah.

“Kalau dibandingkan dari segi jumlahnya (pengguna bot pam), bilangan menggunakan bot pam untuk kebaikan mencari nafkah kehidupan (nelayan) lebih ramai daripada mereka yang menggunakan bot pam untuk tujuan jenayah,” katanya.

Beliau berkata perkara itu juga akan dibincangkan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan agensi penguatkuasaan berkaitan.

Di samping itu, Mohd Azis juga berkata kerajaan perlu mencari mekanisme pengangkutan yang boleh bersaing dengan pengangkutan bot pam yang sering dikaitkan dengan kegiatan jenayah penculikan di pantai timur negeri berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata pihak berkuasa negara belum dapat berkomunikasi dengan kumpulan penculik yang melarikan dua nelayan Indonesia di perairan Semporna pada 11 Sept lepas.

“Setakat ini, saya difahamkan masih belum ada komunikasi antara penculik dengan pihak kita. Kita akan pantau dari semasa ke semasa,” katanya. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply