Home Semasa Polis sudah ambil keterangan Hasanah – KPN

Polis sudah ambil keterangan Hasanah – KPN

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengambil keterangan bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Hasanah Ab. Hamid berhubung dakwaan beliau menulis surat kepada Agensi Risikan Pusat (CIA) menjelang Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya juga akan mengambil keterangan beberapa individu lain termasuk pegawai daripada bahagian berkenaan yang berada di Washington, Amerika Syarikat.

“Kita sudah mengambil keterangan Hasanah dan kira-kira dua atau tiga individu akan dirakam keterangan dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media ketika perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman, di sini, hari ini.

Bulan lalu, sebuah portal berita mendedahkan surat rahsia yang dihantar oleh Bahagian Penyelidikan JPM kepada Pengarah CIA, Gina Haspel.

Antara kandungan surat bertarikh 4 Mei itu meminta sokongan Amerika Syarikat terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Umum-Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun, Najib menafikan surat berkenaan dihantar atas arahannya kerana agensi kerajaan termasuk hal ehwal risikan mempunyai kuasa autonomi untuk menjalankan tanggungjawabnya berdasarkan pertimbangan sendiri.

Susulan itu, satu laporan dibuat Hasanah di Balai Polis Travers pada 31 Julai lalu berhubung dakwaan surat berkenaan.

Related Articles

Leave a Reply