KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 akan dikaji semula kerana ia mengambil hak keistimewaan Yang di-Pertuan Agong dalam pengisytiharan darurat.
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan meneliti segala aspek sebelum meminda akta berkenaan.
Katanya, kelulusan Akta MKN berlaku kerana kerajaan terdahulu tersilap mentafsirkan pindaan Fasal (4) dan (4A) Perlembagaan Persekutuan.
“Kita dapati Akta MKN jelas memberi kesan ke atas kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat yang mana kuasa itu tidak lagi bermakna.
“Pengisytiharan darurat adalah keistimewaan yang diberi kepada Yang di-Pertuan Agong kerana implikasinya amat serius,” katanya menjawab soalan asal Datuk Dr Ismail Mohamed Said (BN-UMNO Kuala Krau) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Ismail mahu mengetahui mengenai Akta MKN 2015 yang diluluskan secara automatik sebagai undang-undang tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong.
Akta MKN yang diluluskan Dewan Rakyat pada Disember 2015 dan berkuat kuasa 1 Ogos 2016, antara lain membolehkan Perdana Menteri menetapkan sesuatu kawasan sebagai ‘keselamatan’ dengan membenarkan pasukan keselamatan memeriksa mana-mana individu, kenderaan atau bangunan tanpa waran.
Ia juga membenarkan penyiasat mengabaikan penyiasatan formal berhubung pembunuhan dilakukan polis atau tentera di sesuatu ‘kawasan keselamatan’.
Dr Mahathir berkata, akta itu memberi hak kepada kerajaan menangkap sesiapa sahaja tanpa bicara.
“Kerajaan akan mengkaji lebih lanjut mengenai perkara ini jika wujud keperluan berbuat demikian,” katanya.