Home Semasa Lawatan Tun M ke China bincang projek ECRL – Saifuddin Abdullah

Lawatan Tun M ke China bincang projek ECRL – Saifuddin Abdullah

by Air Times News Network

KUANTAN, 28 Jul – Lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke China pada pertengahan bulan hadapan akan membincangkan pelbagai isu termasuk kajian semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata Wisma Putra sedang berhubung dengan Kementerian Luar negara itu untuk menentukan tarikh dan atur cara lawatan pertama Dr Mahathir ke China selepas dilantik semula sebagai Perdana Menteri pada Mei lalu.

Katanya, antara agenda lawatan berkenaan adalah membincangkan perjanjian projek ditandatangani kerajaan sebelum ini dengan China, termasuk ECRL yang projek pembinaannya digantung sejak 3 Julai lalu berikutan arahan kerajaan menerusi Kementerian Kewangan.

“Ia bukannya bermaksud (projek ECRL) dihentikan tetapi kita hendak melihat bagaimana perkara tertentu boleh diperbaiki dan ditambah nilai.

“Paling mustahak kita mahu menjaga hubungan perdagangan dua hala..

“Perbincangan di peringkat pegawai berjalan dengan begitu baik sekali,” katanya ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Ibu Bapa Peringkat negeri yang diadakan di Kampung Chengal Lempong, dekat sini, hari ini.

ECRL adalah projek landasan kereta api dari Pelabuhan Klang dan tamat di Pengkalan Kubor, Kelantan yang diluluskan Kabinet pada 2016 dan 2017, di mana China Communications Construction Company (CCCC) dilantik sebagai kontraktor utama.

Kos keseluruhan sebenar projek ECRL dijangkakan mencecah RM81 bilion, termasuk kos pengambilalihan tanah dan faedah pinjaman semasa pembinaan projek.

Selain ECRL, projek dengan China yang digantung kerajaan adalah Multi-Product Pipeline (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) bernilai RM9.4 bilion.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, lawatan Perdana Menteri itu juga bertujuan mengukuhkan hubungan Malaysia dengan China yang terjalin sejak 1974 dan beratus tahun lalu menerusi hubungan kebudayaan.

“Kita sangat menghargai hubungan itu dan mahu meningkatkannya dalam bidang pendidikan dan perniagaan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply