Home Semasa Agong rasmi pembukaan penggal pertama Parlimen ke-14

Agong rasmi pembukaan penggal pertama Parlimen ke-14

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 17 Jul – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada jam 10 pagi di Dataran Parlimen, disambut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut menyambut keberangkatan Yang di-Pertuan Agong ialah Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Sultan Muhammad V kemudian diiringi ke Peterana Diraja, melintasi pasukan kawalan bertombak diikuti sembah ‘Hormat Diraja’ oleh pasukan Kawalan Kehormat Utama, Pancaragam Pusat Regimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mej Muhamad Nor Azizan Yahya.

Serentak itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan.

Ia diikuti dengan tembakan meriam 21 das serentak dengan lagu kebangsaan ‘Negaraku’ dimainkan.

Sultan Muhammad V kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama yang terdiri daripada 103 anggota dan empat pegawai daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Ketua Kawalan Kehormatan Utama Mej Mohd Izham Ahmad Rashidi.

Selesai istiadat berkenaan, Sultan Muhammad V diiringi ke Bilik Diraja di Bangunan Parlimen untuk sesi bergambar sebelum ke Dewan Rakyat untuk menyampaikan titah diraja.

Related Articles

Leave a Reply