Home Semasa Henti sementara eksport balak tangani banjir – Shafie Apdal

Henti sementara eksport balak tangani banjir – Shafie Apdal

by Pasri Asyraf

PENAMPANG, 3 Jun – Tindakan kerajaan negeri Sabah untuk menghentikan sementara pengeksportan balak dilihat antara satu cara untuk menangani masalah banjir yang berlaku di negeri ini, khususnya di Penampang.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kejadian banjir yang sering berlaku di daerah ini merupakan, antaranya kesan daripada aktiviti pembalakan dahulu.

“Bagaimanapun, saya minta agar Jabatan Kerja Raya melawat kawasan ini jika satu mitigasi banjir diperlukan dan boleh mempercepatkan masalah banjir di Penampang selesai,” katanya selepas melawat Bilik Operasi Banjir Penampang di sini, semalam.

Di samping itu, Mohd Shafie juga berkata kerjasama antara kerajaan negeri dan Jabatan Meteorologi penting bagi membolehkan tindakan segera dapat dilakukan untuk memindahkan penduduk dari kawasan yang dikhuatiri dilanda cuaca buruk dan banjir yang membimbangkan.

Sebanyak 14 kampung di Penampang  terjejas banjir akibat hujan lebat sejak Khamis lepas dan beberapa lagi kawasan di pantai barat Sabah termasuk Kota Kinabalu, Tuaran, Papar, Putatan dan Kota Belud turut dilanda bencana itu. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply