Home Semasa GST: Peniaga jangan ambil kesempatan – Mohd Rashad

GST: Peniaga jangan ambil kesempatan – Mohd Rashad

by Nurulhuda

TRIANG, 2 Jun – Peniaga diingatkan tidak mengambil kesempatan membuat keuntungan berlebihan ketika pelaksanaan perubahan kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Ketua Cawangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Bera, Mohd Rashad Muhammad Zain berkata, sepanjang operasi pemantauan di beberapa premis perniagaan sekitar Triang Sentral, semua peniaga mematuhi arahan itu.

Menurutnya, walaupun masih terdapat peniaga yang mempamerkan tanda harga lama, namun mereka diberi tempoh sebulan untuk mengubah atau mengganti tanda harga baharu.

“Bagaimanapun, harga produk yang dijual diubah kepada kadar sifar GST, dan pengguna boleh memeriksa pada resit pembelian.

“Jika pengguna mendapati harga yang dibayar masih lagi harga lama (iaitu termasuk kadar 6 peratus GST), mereka boleh membuat aduan kepada KPDNKK,” katanya.

Hadir sama, wakil Jabatan Kastam Diraja Temerloh, Penguasa Kastam Amalina Abd Rahman.

Mohd Rashad berkata, dalam operasi itu juga, ada segelintir peniaga yang masih keliru dengan perubahan kadar GST ini apabila tidak meletakkan harga mengikut kadar sifar GST.

“Perubahan harga perlu dilakukan daripada kadar 6 peratus kepada sifar peratus. Ia perlu tepat kerana sebarang keuntungan berlebihan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang mengeksploitasikan keadaan untuk menaikkan harga secara tidak munasabah.” katanya.

Sementara itu, menurut Mohd Rashad, sepanjang pemeriksaan 1,451 premis di seluruh daerah Bera dari 1 Januari hingga semalam, sebanyak 50 kes dikesan dengan nilai kompaun berjumlah RM6750.

Katanya, sebanyak RM26,480 nilai rampasan direkod daripada pelbagai kesalahan.

Related Articles

Leave a Reply