Home Semasa Bibir dan lidah kering serta muntah sehari sebelum Zulfarhan meninggal dunia

Bibir dan lidah kering serta muntah sehari sebelum Zulfarhan meninggal dunia

by Noor Sheila Amin

Kuala Lumpur, 28 Mac – Pegawai Perubatan Klinik As-Salam Bandar Baru Bangi, Doktor Azfar Hussin, 34, dalam kenyataannya di Mahkamah Tinggi memaklumkan bahawa Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia dipercayai akibat didera rakan seuniversitinya tahun lalu, kembali ke klinik sama pada 31 Mei 2017 untuk mendapatkan rawatan, dalam keadaan letih dan dehidrasi, bibir dan lidah kering serta muntah sehari sebelum dia meninggal dunia.

Doktor Azfar memberitahu mahkamah, terdapat beberapa perbezaan pada Zulfarhan Osman pada rawatan kali kedua itu dimana Zulfarhan lebih banyak minta bantuan rakan-rakan untuk bergerak dan membuka pakaian berbanding empat hari sebelumnya apabila dia melakukan perkara itu sendiri.

Doktor Azfar berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah pada hari ketiga perbicaraan kes membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman.

Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata, dia turut diberitahu mangsa juga ada muntah beberapa hari sebelum ke klinik itu.

Terdahulu, Doktor Azfar berkata, beliau bertanyakan Zulfarhan Osman kenapa datang semula ke klinik itu dan tidak pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan mangsa memberitahu keadaannya bertambah baik.

Katanya Zulfarhan Osman memberitahu, mahu mendapatkan rawatan cucian di klinik dan akan pergi ke hospital selepas itu.

“Kawan-kawan (Zulfarhan Osman) kata benda sama, keadaan bertambah baik dan perlukan dressing sahaja. Saya beritahu sepatutnya awak terus pergi ke Hospital Serdang tetapi Zulfarhan Osman kata tak apa doktor, tak apa, dressing dulu sebab saya susah nak bergerak, sebab kali pertama saya tak buat balutan di paha,” katanya dan Zulfarhan Osman memintanya membuat cucian di paha dan punggung.

Doktor Azfar berkata, beliau juga ada membuat pemeriksaan lanjut dan mendapati tanda vital termasuk tekanan darah, degupan jantung dan paras oksigen serta suhu Zulfarhan Osman berada dalam keadaan normal selain lukanya juga kelihatan baik.

Kepada soalan Othman siapakah dua rakan yang menemani Zulfarhan Osman pada rawatan kali kedua itu dan adakah mereka ada di mahkamah, beliau menunjuk ke arah tertuduh pertama Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, dan tertuduh kedua, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, yang berada di kandang tertuduh.

Menjawab soalan Othman, bilakah doktor itu mengetahui Zulfarhan Osman meninggal dunia, beliau berkata pada 2 Jun 2017, apabila pihak polis dan pegawai Kementerian Kesihatan datang ke kliniknya untuk mengambil keterangan.

Enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM, antara jam 4.45 pagi dan jam 5.45 pagi, 22 Mei tahun lalu.

Pertuduhan terhadap mereka yang kesemua berusia 22 tahun itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan akan bersambung pada 26 April 2018.

Related Articles

Leave a Reply