KUALA LUMPUR, 14 NOV – Pengasingan pelajar kadet tahun satu daripada senior di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), antara langkah yang diambil oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk mencegah risiko mereka menjadi sasaran kes buli dan penderaan.
Usaha yang dilaksanakan sejak April 2024 itu, menyaksikan kadet junior ditempatkan di Bukit Putra di bawah pemantauan penuh jurulatih.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, kementerian komited untuk melindungi keselamatan kadet dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penderaan.
“Bermula April 2024, telah dilakukan pengasingan pegawai kadet tahun satu di Bukit Putra dan diletakkan di bawah kelolaan jurulatih sepenuhnya memandangkan golongan ini biasanya menjadi sasaran,
“Kementerian Pertahanan sama sekali tidak akan berkompromi dengan perlakuan sedemikian dan akan menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan sekiranya terdapat aduan atau laporan yang dibuat,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut menjamin, MINDEF melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan turut melaksanakan siasatan dalaman di peringkat ALK bagi memastikan keadilan dan ketelusan dalam setiap laporan.
Mengulas lanjut, pengasingan pelajar kadet tahun satu ini adalah sebahagian daripada lapan pelan komprehensif kementerian yang turut melibatkan penambahan jumlah jurulatih dan pemasangan tujuh kamera litar tertutup di blok penginapan sejak Februari 2023 bagi mengesan sebarang aktiviti yang mencurigakan.
Ujar Khaled, setakat ini, seramai 24 pegawai dan 48 anggota lain-lain pangkat (LLP) telah dilantik bagi memantau setiap kompeni yang terdiri daripada hanya 150 kadet berbanding 1 batalion dengan jumlah maksimum 320 kadet sebelum ini.
“Pelantikan jurulatih ini bagi meringankan beban seorang jurulatih untuk memantau 20 orang pegawai kadet dengan nisbah 1 ke 20.
“Penambahan jumlah jurulatih ini juga membolehkan pecahan untuk kawalan pentadbiran pegawai kadet dibuat dalam kumpulan yang lebih kecil iaitu daripada 4 batalion kepada 8 kompani,” tambahnya.
Nisbah pemantauan ini membolehkan pengawasan yang lebih teliti dan mengurangkan risiko buli dalam kalangan kadet.
Selain pengasingan, MINDEF turut memperkenalkan langkah tambahan bagi meningkatkan kawalan keselamatan, termasuk rondaan kawasan penginapan selepas jam 11.59 malam serta pemeriksaan fizikal berkala bagi mengenal pasti sebarang tanda kecederaan atau penderaan yang mungkin berlaku.- Airtimes.
#UPNM #Buli #MINDEF #Malaysia