Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Cabar diri sertai Komando: Lt M Imran rangkul Penuntut Keseluruhan Terbaik

Cabar diri sertai Komando: Lt M Imran rangkul Penuntut Keseluruhan Terbaik

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=FWIarPHcCtM[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Tertarik dengan perwatakan dan gaya jurulatih serta pegawai ‘senior’ ketika di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah mendorong Leftenan Muda (Lt M) Mohamad Imran Mohamad Rusni, 25 tahun, memilih untuk mengikuti Kursus Asas Komando pada kali ini.

Mencabar diri untuk berjaya seperti mereka telah membuahkan hasil yang akan dikenang sampai bila-bila apabila Mohamad Imran sekali gus dinobatkan sebagai Penuntut Keseluruhan Terbaik bagi Kursus Asas Komando Siri AK1/2022 yang melabuhkan tirainya baru-baru ini.

“Semasa di UPNM, saya lihat pegawai dan jurulatih serta senior yang memakai Beret Hijau Komando,

“Saya tertarik dengan karakter mereka. Anggota Komando adalah pasukan khas yang terbaik dalam kalangan yang terbaik,

“Bila tengok karakter mereka yang jadi Komando, ada ‘wow factor’ untuk saya jadi seperti mereka. Walau saya tahu Komando ini lasak, saya fikir kalau orang lain boleh buat, kenapa saya tidak boleh?,” jelasnya ketika ditemui pemberita selepas Upacara Penutup Kursus Asas Komando Siri AK/1/2022 pada Sabtu.

Anak sulung pasangan guru dari Bachok, Kelantan ini juga meluahkan pernah berasa sedih ekoran penarikan diri sahabatnya yang tidak dapat meneruskan kursus tersebut.

Tak semua anggota tentera dapat merasa apa yang Komando itu rasa. Untuk jadi yang terbaik dalam yang terbaik perlukan pengorbanan – Leftenan Muda (Lt M) Mohamad Imran Mohamad Rusni.

Namun, beliau berkata, berkat keazaman, niat dan peranan jurulatih telah mendorongnya untuk meneruskan latihan ini sehingga akhirnya.

“Pada permulaan kursus, saya ada seorang kawan pegawai. Apabila kawan tarik diri, saya agak terkesan, tapi lama-lama saya kena terima hakikat yang saya masih mempunyai kawan-kawan lain dan tanggungjawab dalam kursus ini,

“Bila saya sedih, saya terus fikir dan ingat balik tujuan utama saya hadir kursus ini. Saya kena teruskan sampai habis, saya fikir orang lain boleh buat, kenapa saya tak boleh buat,

“Sebelum ini, siri-siri terdahulu ada juga hanya seorang pegawai sahaja yang lulus kursus ini,

“Kerjasama antara penuntut turut memainkan peranan. Alhamdulilah jurulatih banyak membantu saya bersama-sama penuntut lain sehingga habis kursus,”ujarnya.

Untuk jadi yang terbaik perlukan pengorbanan

Mengulas lanjut, Mohamad Imran meluahkan rasa bangga kerana dapat menamatkan latihan dan layak menyertai warga Gerup Gerak Khas (GGK).

 

Lt M Mohamad Imran ketika mengetuai perbarisan Majlis Penutup Kursus Asas Komando Siri AK/22 yang disempurnakan oleh Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mejar Jeneral Nubli Hashim di Pantai Betutu Laut, Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kem Sungai Udang, pada Sabtu lalu.

“Sebelum kursus, apa yang saya dengar sebelum ini, ada yang sama, ada yang lebih teruk dari yang didengar,

“Tapi, kerana itulah yang menjadikan seorang Komando itu Komando. Tak semua anggota tentera dapat merasa apa yang Komando itu rasa. Untuk jadi yang terbaik dalam yang terbaik perlukan pengorbanan,” ujarnya.

Imam kami jadi Komando

Sementara itu, Mohamad Rusni Mustapha, bapa kepada Mohamad Imran menjelaskan, kejayaan anak sulungnya itu merupakan hadiah kepada mereka dan sebagai contoh kepada adik beradik yang lain.

“Saya berasa sedih dan bangga dengan pencapaiannya (Muhamad Imran). Ia merupakan satu hadiah kepada saya, contoh yang baik kepada adik-beradik, keluarga dan masyarakat di kampung,

“Semua orang di kampung tidak percaya, dia (Mohamad Imran) boleh sertai Komando. Sebab di kampung dia merupakan imam surau di kampung halaman kami, jadi semua tertunggu kepulangannya,

“Saya harap lepas ini mungkin ada adik-beradik yang lain akan sama-sama semangat untuk menyertai tentera,” ujarnya.

Mohamad Rusni berkata, pada mulanya, beliau tidak diberi tahu tentang hasrat Mohamad Imran untuk menyertai kursus tersebut, namun tetap sentiasa merestui segala keinginannya.

Mohamad Rusni Mustapha, bapa kepada Mohamad Imran menjelaskan, kejayaan anak sulungnya itu merupakan hadiah kepada mereka dan sebagai contoh kepada adik beradik yang lain.

“Terkejut kami apabila diberi tahu Abang mahu menyertai Komando. Termenung sekejap saya, berpikir yang Komando itu sangat lasak, boleh mendatangkan kecelakaan,

“Tetapi, setiap malam kami sentiasa berdoa agar anak kami selamat. Insya Allah kami akan sentiasa menyokong Mohamad Imran dan bersedia dengan keadaan kerjanya yang dilaluinya,”

Lt M Mohamad Imran antara 277 penuntut yang menjalani Kursus Asas Komando Siri 1/22 bermula pada 14 Mac lalu. Namun, sehingga akhirnya hanya 123 orang penuntut sahaja berjaya menamatkan kursus tersebut dan dianugerahkan beret Hijau serta menjadi ahli kelurga GGK.

Majlis penutup kursus tersebut telah disempurnakan oleh Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mejar Jeneral Nubli Hashim di Pantai Betutu Laut, Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kem Sungai Udang, Melaka.-airtimes.m

Related Articles

Leave a Reply