Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Agong titah jangan salah guna kuasa

#Pertahanan: Agong titah jangan salah guna kuasa

by Muaz Rizqi

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=L5eugnfbcm8[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 22 Jul – Seramai 228 orang Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) telah ditauliahkan dalam Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Penganugerahan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Padang Kawad ALK, Kem Perdana Sungai Besi, hari ini.

Kesemua Pegawai Kadet ALK itu terdiri daripada 136 Pegawai Kadet Tentera Darat Malaysia (TDM), 46 Pegawai Kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 46 Pegawai Kadet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pegawai Kadet itu juga merupakan graduan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di peringkat Ijazah Sarjana Muda yang telah tamat pengajian pada November tahun lalu dan seterusnya mengikuti Latihan Ketenteraan Tahun Akhir (LKTA) selama 6 bulan di kolej perkhidmatan.

Mereka seterusnya layak ditauliahkan sebagai Pegawai Muda ATM dengan pangkat Leftenan Muda.

Antara bidang pengajian akademik yang diikuti oleh Pegawai Kadet UPNM di peringkat Ijazah Sarjana Muda meliputi bidang perubatan, kejuruteraan, pengurusan sumber manusia, pengajian strategi, teknologi maritim, sains komputer dan juga sains sosial.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan istiadat tersebut.

Seri Paduka Baginda bertitah menjelaskan dunia kini sedang berhadapan dengan pelbagai bentuk ancaman dan cabaran.

“Termasuk pertembungan antara kuasa-kuasa besar tradisional dengan kemunculan kuasa-kuasa baru,” titah Baginda.

Sehubungan itu, Baginda bertitah mengingatkan agar semua peringkat untuk bersedia menghadapi ancaman di masa hadapan.

Baginda turut mengingatkan agar semua peringkat melaksanakan tugas dengan jujur dan amanah serta jangan sesekali menyalahguna kuasa.

“Jangan mengguna jawatan dan pangkat yang disandang sebaliknya bagaikan resmi padi semakin berisi semakin kita tunduk,” titah Seri Paduka Baginda.

Seterusnya, Anugerah Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan dan penyandang Pedang Kehormat dianugerahkan kepada Leftenan Muda (Lt M) Mohamad Norizzaini Norizam.

Beliau merupakan Pegawai Kadet Tentera Darat berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dan ditauliahkan ke Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Selain Mohamad Norizzani, Lt Muda Khairul Faisal Hassanuddin turut dianugerahkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik Tentera Darat.

Manakala, Lt M Amree Aqiel Zyreemy TLDM dan Lt M Muhammad Hafizzuddin Zakaria TUDM masing-masing penyandang Pegawai Kadet TLDM serta TUDM.

Turut hadir, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Muhamad Hasan, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dan Naib Canselor (NC) UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad, -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply