Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Peruntukan tambahan baik pulih kediaman perkasa aspek kebajikan anggota ATM

#Pertahanan: Peruntukan tambahan baik pulih kediaman perkasa aspek kebajikan anggota ATM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Jul – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyambut baik keputusan kerajaan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM200 juta bagi membaik pulih kediaman anggota di seluruh negara seperti mana diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (TUDM) menjelaskan, dana tambahan tersebut merupakan keperihatinan kerajaan terhadap aspek kebajikan warga ATM bagi memastikan kesejahteraan bukan sahaja kepada anggota ATM itu sendiri malah kualiti hidup keluarga mereka sentiasa terpelihara.

Menurutnya, melalui peruntukan ini, sudah pasti ia dapat menambah baik tahap keselesaan warga ATM dan keluarga yang mendiami Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di seluruh negara.

Tambahnya, ia turut menyumbang kepada peningkatan moral warga ATM dalam memastikan kebajikan mereka ini sentiasa diutamakan.

Dalam masa yang sama, Affendi berkata, peruntukan ini amat penting dalam memastikan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan keseluruhan RKAT dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“Antaranya pembaikan kerosakan di dalam rumah seperti lekapan tandas, siling bocor, perpaipan lama dan lekapan elektrik,

“Peruntukan ini juga akan digunakan bagi pembaikan di berek anggota bujang serta penyelenggaraan infra di kawasan RKAT antaranya kerosakan lif di blok-blok kediaman, lampu jalan, jalan berlubang, saluran kumbahan, kerosakan tangki air utama serta kerosakan kemudahan rekreasi seperti taman permainan kanak-kanak, gelanggang sukan dan dewan serbaguna,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menegaskan, ATM akan sentiasa memastikan aspek kebajikan keseluruhan anggota ditangani secara holistik.

“Ini bukan sahaja meliputi keselesaan tempat tinggal malah meliputi peralatan dan perkakasan yang diperlukan untuk tugasan mereka serta gaji dan elaun,

“Pemerkasaan aspek kebajikan ini juga selari dengan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera sepertimana yang digariskan melalui teras keutamaan yang kedua iaitu Memperkasa Warga ATM Yang Cemerlang dalam memperlengkapkan serta membangunkan modal insan Angkatan Masa Hadapan seperti yang dinyatakan dalam Kertas Putih Pertahanan,” tegasnya lagi.

Awal Julai lalu, kerajaan telah meluluskan peruntukan segera RM200 juta bagi membaik pulih kediaman ATM di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata, kelulusan itu diberikan selepas mempertimbangkan banyak kediaman ATM berada pada tahap sangat teruk dan terbiar untuk sekian lama.

Tambahnya, peruntukan itu juga adalah dana tambahan berbanding peruntukan diumumkan melalui Belanjawan 2023. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply