KUALA LUMPUR, 18 Okt – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menerima peruntukan sebanyak RM21.2 bilion dalam usaha memperkukuhkan keselamatan dan kedaulatan negara pada tahun hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terus memastikan kesiagaan penuh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan RM5.8 bilion dikhususkan untuk kerja-kerja senggara dan pembaikan serta perolehan aset-aset ketenteraan baharu.
Beliau menyatakan perkara tersebut semasa membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, bagi memanfaatkan kontrak senggara, program baharu PROTEGE – Veteran akan diperkenalkan khusus untuk mewajibkan kontraktor menyediakan peluang pekerjaan untuk veteran ATM, terutamanya yang punyai kelayakan TVET.
“Tumpuan khusus juga diberikan untuk membangunkan industri ketenteraan tempatan melalui pemindahan teknologi daripada pembekal aset ketenteraan dan menggalakkan pemain industri tempatan menembusi pasaran eksport,
“Sebagai contoh, syarikat tempatan Aerodyne yang muncul sebagai penyedia perkhidmatan dron utama dunia wajar disokong untuk mengeksport aplikasi keselamatan kawalan sempadan,” ujarnya lagi. -airtimes.my
#ATM #belanjawan2025 #airitmes #Malaysia