Home SemasaKesiapsiagaan armada dijadikan teras utama TLDM pertahan kedaulatan negara

Kesiapsiagaan armada dijadikan teras utama TLDM pertahan kedaulatan negara

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 18 OKT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kekal fokus melaksanakan 4 teras bagi memperkuatkan kesiapsiagaan armada dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain berkata, memastikan kesiagaan armada merupakan teras utama yang perlu dijadikan sebagai fokus TLDM ketika ini.

“Semua tumpuan akan dijuruskan untuk melaksanakan pengurusan dan senggaraan armada secara komprehensif dan terancang.

“Mengambil kira cabaran jumlah aset sedia ada berbanding tuntutan operasi semasa, hanya dengan tahap kesiagaan yang tinggi sahaja membolehkan kita mencapai sasaran penugasan dengan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perutusan Ulung Panglima Tentera Laut di Auditorium Kementah, Kementerian Pertahanan, di sini pada Jumaat.

“Dalam usaha memastikan kesiagaan armada berada pada tahap tertinggi, aspek penyelenggaraan kapal-kapal TLDM perlu diberi penekanan dan perhatian serius serta tidak boleh dipandang ringan oleh warga the Navy People.

“Kesiagaan kapal termasuk peralatan dan sistem sokongan teknikal hendaklah sentiasa berada dalam keadaan terbaik sepanjang masa.

Jelasnya lagi, penyelenggaraan berjadual yang telah sekian lama diamalkan bukan hanya satu keperluan tetapi suatu keutamaan yang perlu dipantau dari semasa ke semasa.

“Saya akui kekangan peruntukan kewangan juga kadang kala mendatangkan kesan kepada Markas-markas Pemerintahan dan formasi, namun kekangan peruntukan kewangan ini tidak boleh dilihat sebagai kata putus.

“Sebaliknya saya amat berharap agar pendekatan baru dan berhemah yang lebih kreatif serta inovatif dapat diwujudkan agar objektif teras ini dapat dicapai sepenuhnya,” tambah beliau.

Mengulas lanjut, Zulhelmy berkata, kajian yang kukuh serta mapan perlu dilaksanakan agar ianya tidak tersasar dari Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 (Platform) yang telah dibangunkan oleh TLDM.

“Selain itu, kepentingan teknologi terkini juga tidak boleh diabaikan dalam usaha memastikan kesiagaan armada berada pada tahap tertinggi.

“Perkembangan teknologi pertahanan maritim bergerak pantas dan TLDM harus terus seiring dengan memanfaatkan teknologi terkini,” katanya.

Tegasnya lagi, kesiagaan armada adalah nadi kepada kejayaan operasi TLDM manakala keupayaan armada dalam bertindak balas dengan pantas terhadap sebarang ancaman merupakan faktor penentu dalam menjaga kedaulatan dan kepentingan maritim negara. -airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply