Home SemasaBantuan Khas Kewangan: Penjawat awam terima RM500, pesara RM250

Bantuan Khas Kewangan: Penjawat awam terima RM500, pesara RM250

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak akan menerima bantuan khas kewangan sebanyak RM500.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia turut diberikan kepada semua pesara kerajaan, manakala veteran berpencen dan veteran tidak berpencen akan menerima sebanyak RM250.

“Bantuan ini akan disalurkan pada Februari 2025,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025, hari ini.

Sementara itu bagi terus memelihara kesejahteraan penjawat awam, kerajaan mengumumkan beberapa peruntukan termasuk menyediakan lebih RM1.8 bilion bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih semua kuarters penjawat awam.

Perdana Menteri, berkata ia membabitkan kuarters termasuk guru, doktor, anggota polis, bomba, penjara dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera.

Kerajaan juga akan meluaskan dan memudahkan Skim Ex-Gratia bencana kerja bagi memperkasa perlindungan sosial kepada semua penjawat awam di negara ini.

“Bagi anggota pasukan keselamatan dan penguatkuasaan yang hilang upaya kekal semasa dalam operasi, bayaran faedah Ex-Gratia Operasi sehingga RM50 ribu akan diberikan bagi bencana kerja mulai tahun 2024,

“Bayaran faedah Ex-Gratia Pukal sebanyak RM20 ribu turut diberikan sebagai tambahan kepada waris bagi kes kematian bencana kerja mulai tahun 2024,

“Manakala, kadar Elaun Layanan Sentiasa dinaikkan kepada 1,500 ringgit ketimbang 500 ringgit mulai 1 Januari 2025 termasuk kepada penerima sedia ada,” ujarnya lagi.

Selain itu, Anwar berkata, kerajaan bersetuju supaya kadar Bantuan Sara Hidup berdasarkan pendapatan garis kemiskinan (PGK) untuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen dinaikkan kepada RM500 sebulan berbanding RM300 pada masa ini.

“Kerajaan turut bersetuju melanjutkan bayaran Penghargaan Khas Kepada Pesara dan penerima pencen terbitan mulai Januari hingga Disember 2025.-airtimes.my

#semasa #Belanjawan2025 #airtimes #Malaysia #Anwar

Related Articles

Leave a Reply