Home Pertahanan dan Keselamatan Kolumnis: Bajet 2025 – Harapan ATM dapat peruntukan seimbang laksanakan pemodenan aset

Kolumnis: Bajet 2025 – Harapan ATM dapat peruntukan seimbang laksanakan pemodenan aset

by Zaki Salleh

Berapakah peruntukan yang akan diberi kerajaan kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada pembentangan sesi Belanjawan 2025, pastinya angka yang diharapkan adalah ideal.

Perdana Menteri akan membentangkan Belanjawan 2025 yang mana pelbagai libat urus dengan pihak berkepentingan telah diadakan termasuk MINDEF.

Bertemakan ‘Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera, itu adalah belanjawan ketiga yang digarap Kerajaan MADANI dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) sebelum menginjak ke RMK-13 bagi tempoh lima tahun akan datang.

Tahun lalu MINDEF menerima peruntukan RM19.73 bilion, tetapi kira-kira 40 peratus dibelanjakan untuk pengurusan termasuk gaji.

Mengambil kira kejatuhan nilai ringgit dan hakikat bahawa Malaysia membeli kelengkapan pertahanan dari luar, peruntukan MINDEF kecil berbanding kementerian lain.

Peruntukan yang diterima juga bukanlah petunjuk tepat mengenai sejauhmana rancangan pemodenan ATM dapat dilaksanakan.

Jika belanjawan lepas dijadikan kayu pengukur, apa yang boleh dijangka ialah kemungkinan angka lebih kurang sama atau pun ada pertambahan jika tidak banyak, sedikit.

Sekiranya itu berlaku, bermakna Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa akur pada jumlah peruntukan yang diberi untuk diagih-agihkan mengikut keperluan.

Rakyat sebenarnya mengharapkan kerajaan memberikan peruntukan yang jika tidak besar tetapi setimpal dengan apa keperluan ATM khususnya melaksanakan pembelian yang tertangguh.

Selain perolehan aset baharu, aset-aset lama seperti kapal-kapal peronda yang memasuki usia pencen sepatutnya perlu diganti.

Insiden kapal peronda KD Pendekar yang tenggelam bulan lalu memburukkan lagi realiti angkatan laut negara.

Isu kelewatan LCS terus membayangi TLDM, walaupun langkah pemulihan sedang berjalan namun persepsi umum terhadap projek LCS masih negatif.

Keperluan mendesak lain TLDM ialah pembelian 6 helikopter antikapal selam menggantikan helikopter Super Lynx.

TLDM juga perlu menggantikan helikopter AW139 HOM yang terbabit dalam nahas April lalu. Kini, ada cadangan untuk TLDM menyewa 3 buah helikopter jenis sama.

Selain penggantian Nuri, TUDM pula dalam fasa memuktamadkan hasrat mendapatkan pesawat Hornet terpakai Kuwait.

Bagaimana pun, ia sesuatu yang belum pasti selagi tiada rundingan rasmi tentang pembelian berkenaan.

Pada masa, MINDEF juga belum menunjukkan tanda-tanda untuk memulakan proses pembelian batch kedua pesawat tempur ringan FA-50 dari Korea Selatan.

TUDM juga terpaksa menunggu sehingga tahun 2030 bagi mencari calon pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA). Faktor kos yang besar masih menjadi isu utama.

Sehingga tempoh itu TUDM terpaksa bergantung kepada 18 pesawat Sukhoi Su-30MKM dan 8 F/A-18D Hornet.

Program penggantian Radpanzer Condor terus menjadi teka-teki apabila masih belum ada komitmen diberikan.

Bersekali dengan Condor ialah perolehan 136 Kenderaan Berperisai Mobiliti Tinggi (HMAV).

Terbaru, MINDEF dipercayai akan memilih sistem EVA M2 155mm sebagai calon SPH Tentera Darat yang dikatakan menelan kos kira-kira RM800 bilion. Justeru, kenyataan secara rasmi dinantikan.

Masih menjadi perhatian ialah penggunaan 4 buah helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk secara sewaan tahun ini.

Pada masa negara berdepan dengan beberapa isu berkaitan keselamatan termasuk isu di Laut China Selatan, tetapi bajet pertahanan kecil menyekat rancangan pemodenan sepatutnya.

Angka belanjawan pertahanan kecil ini juga memperlihatkan kerajaan, walaupun bertukar parti pemerintah kurang memberi penekanan terhadap keperluan ATM.

Bajet terhad ini juga tidak menyokong visi pemodenan ATM menyebabkan banyak senarai hasrat tertangguh sehingga bertahun-tahun.-airtimes.my

#airtimes #belanjawan2025 #Mindef #ATM #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!