Home Semasa Bekalan Air Rakyat Menjadi Keutamaan – Azmin

Bekalan Air Rakyat Menjadi Keutamaan – Azmin

by M.Daim

Shah Alam, 8 Mac – Semalam, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali telah memanggil pegawai Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sebelum mesyuarat EXCO , untuk memberi taklimat kepada Kerajaan Negeri berhubung insiden Sistem Mampatan Udara di Loji Rawatan Air Fasa Tiga Sungai Selangor (SSP3) yang pecah dan menyebabkan kecederaan serius kepada kakitangan di lokasi kejadian.

Menteri Besar prihatin dengan gangguan bekalan air susulan penyelenggaraan di loji tersebut dan telah maklum mengenainya pada Isnin lalu, sebelum kerja penyelenggaraan dilakukan di SSP3.

Menteri Besar telah mengarahkan Air Selangor untuk menghubungi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk bantuan akses ke atas loji rawatan air yang dimiliki Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH).

Dalam kenyataan media oleh Pejabat Menteri Besar, Azmin Ali berpuas hati Air Selangor dapat menyelesaikan kerja penyelenggaraan dua jam lebih awal daripada yang dijadualkan bagi membolehkan bekalan air disalurkan seperti biasa kepada pengguna.

Malangnya, insiden tidak diingini berlaku di loji berkenaan ketika operasi pembekalan dimulakan, yang mana ia menyebabkan kakitangan bertugas di loji itu cedera serius, dan gangguan bekalan air terpaksa dilanjutkan.

Beliau meminta  orang ramai bersabar ketika perkhidmatan air Selangor berusaha sedaya upaya memulihkan keadaan akibat kejadian yang tidak diingini itu. Menteri Besar turut berdoa dan berharap kakitangan loji air yang tercedera itu segera pulih.

Related Articles

Leave a Reply