Home Semasa Hospital Medan Malaysia di Cox’s diteruskan sehingga akhir tahun

Hospital Medan Malaysia di Cox’s diteruskan sehingga akhir tahun

by Air Times News Network

SEPANG – “Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh bagi misi bantuan kemanusiaan Rohingya yang memulakan operasi pada 1 Disember lalu akan diteruskan sehingga akhir tahun ini,” kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata, sehubungan itu Kementerian Kesihatan akan mengadakan perbincangan bagi merancang semula penghantaran warga kerjanya untuk bertugas di Hospital Medan Malaysia secara berperingkat sehingga akhir tahun.

“Perancangan yang dibuat sebelum ini adalah untuk tiga bulan sahaja. Jadi apabila operasi Hospital Medan Malaysia  dilanjutkan sehingga hujung tahun maka perbincangan dan perancangan baharu perlu dibuat,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan kepulangan 41 orang petugas pasukan ketiga  Hospital Medan Malaysia  di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Laporan sebelum ini menyebut mandat operasi Hospital Medan Malaysia yang diselaraskan Kementerian Kesihatan dengan sokongan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu adalah selama tiga bulan dan   berakhir pada Jumaat (16 Feb).

Selepas tiga bulan, keputusan sama ada untuk meneruskan operasi Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar  bergantung kepada laporan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

​​​​​​​Mengulas mengenai operasi Hospital Medan Malaysia bagi tempoh 1 Dis 2017 hingga 14 Feb baru-baru ini, Dr Hilmi berkata, seramai 6,578 pesakit dirawat, 218 pesakit menjalani pembedahan dan 31 kelahiran dikendalikan.

Dalam tempoh itu, seramai 144 petugas Kementerian Kesihatan dihantar ke Hospital Medan Malaysia, Cox’s  Bazar secara giliran di mana  pertukaran doktor pakar dibuat setiap dua minggu, sebulan bagi petugas paramedik dan tiga bulan bagi petugas logistik.

Jelas beliau, pada masa ini Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar  tidak ditutup dan  sembilan petugas logistik Kementerian Kesihatan sedang menjaga dan mengawasi peralatan perubatan di sana.

Pasukan petugas keempat akan dihantar selepas perbincangan diadakan, katanya lagi.

“Pada satu-satu masa perlu ada 50 petugas Kementerian Kesihatan yang bertugas di Hospital Medan Malaysia. Mereka terdiri daripada pakar-pakar perubatan dalam pelbagai bidang seperti pakar bedah, anestesia, obstetrik dan ginekologi, pediatrik dan psikiatri, tambah beliau.

​​​​​​​“Petugas lain ialah pegawai perubatan, pegawai farmasi, jururawat, penolong pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran, juru X-ray, juruteknologi makmal dan anggota logistik,” katanya lagi.

Tambah Dr Hilmi, pengalaman merancang, menubuhkan dan beroperasi di Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar Bangladesh amat  berharga kepada warga kerja Kementerian Kesihatan Malaysia yang terlibat.

Krisis  kemanusiaan di wilayah Rakhine di Myanmar bertambah meruncing sejak Ogos tahun lepas apabila ramai pelarian Rohingya memasuki Bangladesh setiap hari, menyebabkan banyak khemah pelarian didirikan.

Malaysia merupakan negara pertama yang menghantar bantuan kemanusiaan ke Bangladesh pada 9 September lalu selepas lebih 650,000 pelarian Rohingya melarikan diri dari barat Myanmar akibat operasi tentera pada 25 Ogos tahun lalu.

Sehingga kini, jumlah sebenar pelarian Rohingya tidak dapat disahkan tetapi ramai yang mendakwa terdapat lebih satu juta pelarian Rohingya di Cox’s Bazar. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!