Home Semasa Malaysia, Ukraine tingkatkan dagangan dua hala

Malaysia, Ukraine tingkatkan dagangan dua hala

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Malaysia dan Ukraine merancang untuk merangsang aktiviti promosi perdagangan dalam usaha meningkatkan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Wan Latiff Wan Musa.

Beliau berkata, Matrade akan memanfaatkan keadaan politik yang semakin baik di Ukraine, salah satu negara terbesar di Eropah Timur dengan penduduk 42.41 juta pada 2017.

“Kita perlu melihat semula hubungan perdagangan kita dengan Ukraine kerana jumlah dagangan dua hala kita masih rendah, berikutan syarikat Malaysia tidak biasa dengan syarikat Ukraine dan begitu juga sebaliknya.

“Oleh itu, pada masa depan, kita perlu lebih banyak melibatkan diri dengan mereka. Kita mahu menggalakkan syarikat Malaysia pergi ke sana,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Matrade dan Kedutaan Ukraine di Malaysia baru-baru ini menganjurkan Forum Perniagaan Ukraine-Malaysia, yang menyaksikan penyertaan 19 syarikat Ukraine.

Satu sesi mesyuarat perniagaan dengan syarikat Malaysia juga diadakan sempena forum sehari tersebut.

Wan Latiff berkata, Matrade merancang untuk mengadakan misi perdagangan, terdiri daripada syarikat Malaysia dan agensi kerajaan yang berkaitan ke Ukraine tidak lama lagi, dengan matlamat mewujudkan kesedaran di kalangan syarikat Ukraine mengenai peluang perniagaan di Malaysia dan sebaliknya.

Ukraine adalah satu daripada rakan dagangan utama Malaysia di kalangan negara Eropah Tengah dan Timur.

Hubungan diplomatik antara kedua-dua negara bermula pada 1992 dengan perjanjian perdagangan yang ditandatangani pada Ogos 2002.

Pada 2016, jumlah perdagangan Malaysia dengan Ukraine menurun kepada RM715.2 juta daripada RM1.01 bilion pada 2015 dan RM1.19 bilion pada 2014.

Antara Januari dan November 2017, jumlah perdagangan Malaysia dengan Ukraine bertambah sedikit kepada RM844 juta daripada RM655.2 juta pada bulan yang sama 2016, dengan eksport naik 26.1 peratus kepada RM432.3 juta dan import meningkat 31.8 peratus kepada RM411.7 juta .

Antara eksport utama ke Ukraine ialah kelapa  sawit dan produk berasaskan sawit, yang menyumbang 28.5 peratus, barangan elektrik dan elektronik (21.6 peratus) dan makanan diproses, 14.4 peratus.

Bagi import pula, barangan utama termasuk minyak sayuran, produk besi dan keluli, makanan diproses, produk elektrik dan elektronik serta kimia dan produk kimia. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply