Home PolitikPakatan Harapan Bersatu perkemas kerusi Dun

Bersatu perkemas kerusi Dun

by Nurulhuda

ALOR SETAR, 18 Feb – Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan) Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan agihan kerusi di Kedah berjaya dimuktamadkan dalam mesyuarat jawatankuasa pembahagian kerusi Pakatan Harapan Kedah, minggu lalu. Katanya, ini termasuk empat kerusi Dun yang sebelum ini menjadi rebutan antara empat parti.

“Satu kata sepakat sudah dicapai antara kami berhubung agihan 36 kerusi Dun di Kedah, saya andaikan semua pihak pastinya ada wujud rasa kurang puas hati, atau mungkin berpuas hati dengan apa yang dimuktamadkan,” katanya. Difahamkan, sebelum ini empat kerusi dalam rundingan akhir adalah Gurun (PKR/DAP), Kulim (Bersatu/PKR/DAP), Guar Chempedak (Bersatu/Amanah) dan Pantai Merdeka (Bersatu/Amanah).

Menurutnya, bagaimana pun, pihaknya menyifatkan rundingan itu berjaya kerana empat parti telah mencapai kata sepakat pada akhir rundingan. “Sebelum ini, Pengerusi Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad nyatakan jika ada pihak berasa tidak puas hati, bermakna berjaya lah rundingan tu,” katanya.

Mukhriz berkata, agihan kerusi adalah perkara yang penting kerana setelah bersetuju dengan agihan peringkat awal, empat parti dapat memfokus kepada persiapan berdepan PRU14, bersama jentera parti masing-masing mahupun sebagai satu gabungan. “Kelebihan ini wajar dimanfaatkan bagi menumbangkan BN, kerana kesepakatan itu tidak ada dalam parti lawan,” katanya.

Mukhriz turut menepis dakwaan Harapan Kedah gagal bersatu kerana masing-masing mahu menerajui negeri ini dengan mendominasi jumlah kerusi yang ditandingi. “Walaupun agihan kerusi sudah selesai, kuota bagi setiap parti belum boleh diumumkan, kita perlukan kelulusan Majlis Presiden Harapan secara rasmi. Selepas itu kita umumkan,” katanya.

Sumber berkata, pembahagian kuota kerusi Dun menyaksikan Bersatu mendominasi kerusi, berbanding ramalan sebelum ini kerusi Dun dibahagi sama rata antara Bersatu dan Amanah, iaitu 12 kerusi. Spekulasi awal itu dibuat berdasarkan kepada kekuatan dua parti itu di Kedah, yang memiliki tokoh-tokoh berpengaruh yang layak diangkat terajui Kedah.

“Amanah dan PKR mendapat kuota sama banyak, namun jumlah itu boleh dipertikaikan kerana Bersatu diberikan empat lebihan kerusi. DAP tuntut tambahan kerusi di Gurun kerana kawasan itu lebih sesuai untuk calon DAP lawan calon MCA, kajian juga menyebelahi DAP berbanding PKR,” katanya. Menurut sumber, pihaknya bimbang sekiranya akar umbi khususnya penyokong parti turut terkesan dengan agihan kuota yang disifatkan kurang harmoni.

Mengulas calon menteri besar sekiranya Harapan berjaya menawan Kedah, Mukhriz berkata, perkara itu belum dibincangkan sebagai agenda mesyuarat. “Yang penting, kita mestilah menang dahulu. Jangan sembang pasal calon MB jika belum menang. Syarat kedua mestilah kita pilih wakil rakyat yang menang dan ada ketokohan pimpin negeri ini, itu juga perlu dipertimbangkan,” katanya.

Sebelum ini, hanya PKR membuat pengumuman awal calon menteri besar dari parti itu, iaitu Ahli Parlimen Sungai Perani, Datuk Johari Abdul.

Related Articles

Leave a Reply