KUALA LUMPUR, 18 MAC – Kementerian Pertahanan memaklumkan bahawa kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) di North Butterworth Container Terminal (NBCT), Pulau Pinang dari 14 hingga 16 Mac 2026 merupakan persinggahan sementara bagi urusan logistik.
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan bahawa kedua-dua kapal berkenaan, iaitu USS Santa Barbara (LCS 32) dan USS Tulsa (LCS 16), berlabuh untuk urusan tersebut sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi seterusnya.
Menurut beliau, persinggahan kapal tentera laut asing di pelabuhan Malaysia bukanlah satu perkara baharu dan ia telah lama menjadi amalan dalam hubungan pertahanan serta pelayaran antarabangsa.
“Ini merupakan sebahagian daripada aktiviti diplomasi pertahanan bagi meningkatkan keyakinan serta memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah negara,” kata beliau dalam satu kenyataan rasmi pada Rabu.
Khaled menambah bahawa tujuan utama persinggahan itu adalah untuk membolehkan kapal melaksanakan urusan logistik seperti ulang bekal, penyelenggaraan ringan serta memberi peluang berehat untuk anak kapal.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia mempunyai prosedur dan dasar yang jelas berkaitan kehadiran kapal tentera laut asing di pelabuhan komersial mahupun pangkalan laut.
Setiap permohonan untuk berlabuh di pelabuhan negara ini perlu dikemukakan melalui saluran rasmi dan tertakluk sepenuhnya kepada kelulusan Kerajaan Malaysia.
Jelas beliau lagi, persinggahan sedemikian berlaku secara berkala melibatkan kapal tentera laut dari pelbagai negara rakan dan berkepentingan yang melalui laluan perairan negara.
Laluan tersebut merangkumi Selat Melaka atau Laut China Selatan bagi tujuan eksesais dua hala atau pelbagai hala serta misi antarabangsa dalam memastikan kestabilan serantau dan keamanan sejagat seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.
Sebagai rekod, sepanjang tahun 2025, Malaysia telah menerima sebanyak 75 kunjungan kapal tentera laut asing dari 14 buah negara melalui persinggahan pelabuhan.
Negara tersebut merangkumi Australia, Bangladesh, Britain, Brunei, China, India, Indonesia, Itali, Jepun, Kanada, Korea Selatan, Perancis, Singapura dan AS. – airtimes.my
