KUALA LUMPUR, 04 FEB – Kementerian Pertahanan (MINDEF) digesa supaya tidak lagi berkompromi dengan pihak Lumut Naval Shipyard (LUNAS) dan mengenakan penalti Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) semaksimum mungkin susulan kelewatan projek kapal tempur pesisir (LCS).
Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, tindakan tegas itu wajar diambil memandangkan kerajaan telah menyalurkan peruntukan tambahan yang besar serta mengurangkan jumlah kapal, namun LUNAS masih gagal mematuhi garis masa yang ditetapkan.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada penjelasan Menteri Pertahanan di Dewan Rakyat pada 28 Januari 2026 yang memaklumkan bahawa ujian laut (Sea Trial) sebenar kapal LCS 1 atau KD Maharajalela hanya akan bermula pada April 2026.
Menurut Ikmal Hisham, kelewatan itu didakwa berpunca daripada keperluan membaiki semula sistem perpaipan dan kabel elektrik serta kelewatan bekalan peralatan oleh Pengilang Peralatan Asal (OEM).
“Rakyat Malaysia wajib bertanya, kenapa masih wujud permasalahan pihak vendor atau OEM lambat membekalkan peralatan sedangkan hutang lama pihak Boustead Naval Shipyard (BNSSB) berjumlah RM801 juta sudah diselesaikan selepas penambahan bajet daripada RM9.128 bilion kepada RM11.2 bilion?.
“Kenapa wujud permasalahan perpaipan dan kabel yang perlu dilaksanakan semula oleh pihak LUNAS mengambil kira reka bentuk terperinci (detailed design) sudah diluluskan 100 peratus oleh pihak Naval Group dari Perancis selaku pemilik rekabentuk GOWIND?” soalnya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan kegagalan Jawatankuasa Pemantau Projek (PMC) menjangkakan permasalahan ini walaupun jawatankuasa tersebut dianggotai pegawai kanan kerajaan dan bersidang setiap bulan.
Tegas beliau, sekiranya Perjanjian Tambahan (SA) yang dimeterai pada tahun 2023 tidak memperuntukkan klausa LAD, maka seluruh ahli PMC termasuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) dan Ketua Setiausaha (KSU) MINDEF wajar dikenakan tindakan surcaj kerana gagal menjaga kepentingan kerajaan.
Dalam pada itu, Ikmal Hisham turut menjangkakan sasaran pentauliahan kapal KD Maharajalela seawal Disember 2026 tidak akan tercapai.
“Ini mengambil kira kapal tersebut kelihatan berada dalam keadaan usang dan berkarat, selain tempoh ujian laut yang kebiasaannya memerlukan enam hingga lapan bulan bagi kapal yang berada dalam keadaan normal,” jelasnya.
Selain itu, beliau turut meluahkan kebimbangan mengenai teknologi kapal tahun 2014 yang mungkin tidak lagi relevan apabila digunakan pada tahun 2027, yang berpotensi mengakibatkan kos tambahan untuk menyemak semula sistem persenjataan. -airtimes.my

