Mutakhir ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi tumpuan masyarakat umum. Namun, tumpuan yang diberikan pada kali ini bukanlah sesuatu yang dibanggakan memandangkan perkara yang berlaku telah menjejaskan reputasi pasukan pertahanan tanah air.
Dengan realiti geopolitik semasa di peringkat global dan serantau yang begitu tidak stabil, pergolakan yang melanda ATM bukanlah sesuatu yang kita mahukan pada ketika ini. Sebelum ini, Air Times menyiarkan rencana berkaitan ’3 badai yang melanda ATM dan MINDEF’.
Semalam, Menteri Pertahanan telah menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026. Walaupun secara kasar dilihat sebagai satu acara tahunan, apa yang dapat kita lihat dalam ucapan Datuk Mohamed Seri Khaled Nordin di Wisma Perwira mempunyai isyarat tersendiri.
Nada, susunan hujah serta keutamaan yang diketengahkan menunjukkan satu keperluan mendesak untuk melakukan pelarasan semula terhadap ATM. Ia bukan sahaja dari sudut aset dan kesiagaan, tetapi lebih kritikal pada dimensi integriti, tatakelola dan kepercayaan awam.
Dalam landskap pertahanan yang semakin mencabar, ATM tidak lagi boleh bergantung kepada kekuatan fizikal dan teknologi semata-mata. Institusi ini kini berdepan satu ujian dalaman yang berpotensi melemahkan fungsi asasnya sebagai benteng kedaulatan negara, iaitu krisis keyakinan yang berpunca daripada siri kes salah laku, disiplin dan integriti yang mencuri perhatian umum mutakhir ini.
Amanat yang diubah arah, isyarat kepada masalah sebenar

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin./Foto: Airtimes/Zulhaizi
“Saban tahun, perutusan tahun baharu selalu diucapkan dengan panjang lebar tentang rencana tahunan kementerian. Namun hari ini, saya terpaksa merombak ucapan perutusan ini mengambil kira isu isu yang berbangkit sejak kebelakangan ini,” kata Khaled Nordin dalam ucapan beliau semalam.
Perutusan semalam memberikan isyarat jelas dan terbuka oleh Menteri Pertahanan yang mengakui bahawa sesuatu yang perlu dilakukan bagi mendepani isu-isu yang berbangkit. Pengakuan ini signifikan kerana ia mencerminkan kesedaran bahawa cabaran utama ATM hari ini bukan hanya berkaitan ancaman luaran, tetapi keretakan dalaman yang mula menghakis wibawa institusi pertahanan negara.
Pendek kata, pengakuan ini memberi isyarat jelas bahawa ATM sedang berdepan cabaran dalaman yang tidak lagi boleh diselindungi dengan naratif pemodenan semata mata. Penekanan ini menandakan peralihan fokus daripada naratif pembangunan semata mata kepada pemulihan asas moral dan tadbir urus ATM.
Kes mutakhir sebagai latar kepada amanat

Anggota Angkatan Tentera Malaysia melakukan tabik hormat ketika Majlis Perarakan Panji-Panji Agong 2025./Foto: Zulhaizi/Airtimes
Sepanjang tahun 2025 dan awal 2026, ATM berdepan beberapa kes salah laku sosial, isu disiplin serta dakwaan integriti yang mencetuskan reaksi awam. Menteri Pertahanan secara terbuka mengakui kesan kumulatif isu ini terhadap persepsi rakyat.
“Yang sangat mengesankan adalah menirisnya kewibawaan kita di pandangan segelintir masyarakat terhadap MINDEF (Kementerian Pertahanan) dan juga ATM,” ujar Khaled.
Dalam sidang media selepas amanat tersebut, Menteri Perthaanan turut mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan terhadap beberapa insiden melibatkan pelanggaran peraturan dalam kem, termasuk kes yang telah diambil perhatian oleh pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Penegasan bahawa perbuatan tersebut merupakan pelanggaran peraturan sedia ada, dan bukannya budaya yang dibenarkan, menunjukkan keperluan membezakan antara salah laku individu dengan keseluruhan institusi .
Sifar toleransi sebagai dasar, bukan slogan

Bangunan Kementerian Pertahanan Malaysia./Foto: Mindef
Dalam kenyataan media Kementerian Pertahanan bertarikh 12 Januari 2026 memperincikan pendirian tegas kerajaan terhadap isu integriti dalam ATM. Pendekatan sifar toleransi terhadap rasuah, salah guna kuasa dan salah laku moral ditegaskan tanpa pengecualian, termasuk terhadap individu berpangkat tinggi .
Lebih penting, kenyataan tersebut menggariskan empat keutamaan pembetulan, iaitu pemulihan kepercayaan rakyat, pembanterasan rasuah secara sistemik, pengukuhan tatakelola dan penguatkuasaan disiplin. Ini menandakan bahawa masalah yang dihadapi tidak dilihat sebagai kes terpencil, sebaliknya sebagai simptom kepada kelemahan struktur yang memerlukan pembaikan menyeluruh.
Malah, dalam amanatnya, Khaled Nordin menegaskan bahawa rasuah merupakan ancaman keselamatan negara.
“Rasuah menafikan Malaysia daripada memiliki aset yang bermutu. Rasuah mengancam keselamatan anggota tentera kita,” katanya.
Salah satu elemen paling menonjol dalam amanat Menteri Pertahanan ialah cadangan penggunaan teknologi digital berskala besar dan kecerdasan buatan (AI) sebagai mekanisme meningkatkan ketelusan. Pendekatan ini mencerminkan kesedaran bahawa penguatkuasaan konvensional semata mata tidak lagi mencukupi untuk mengekang manipulasi, campur tangan manusia dan ketirisan dalam sistem perolehan serta pentadbiran .
Penggunaan AI untuk menganalisis proses tender, perolehan dan juga pemilihan bakat mencadangkan satu anjakan budaya pengurusan yang lebih berasaskan data, bukannya hierarki atau pengaruh peribadi. Namun, keberkesanan pendekatan ini bergantung kepada ketelusan pelaksanaannya dan kesediaan kepimpinan untuk menerima dapatan yang mungkin mencabar status quo sedia ada.
Cadangan memperkukuh kerangka Tadbir Urus Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus atau ESG dalam konteks pertahanan juga menarik perhatian. Ia menunjukkan usaha untuk menyelaraskan ATM dengan amalan tadbir urus moden tanpa mengorbankan keperluan keselamatan negara, satu keseimbangan yang bukan mudah untuk dicapai.
Isyarat ‘reset’ ATM?

Majlis Amanat Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2026./Foto: Zulhaizi/Airtimes
Persoalan utama yang mungkin timbul di mata umum sama ada amanat ini benar-benar menandakan satu “reset” ATM atau sekadar usaha mengawal kerosakan reputasi. Dari sudut naratif dan dasar yang diumumkan, terdapat petunjuk jelas bahawa kepimpinan tinggi sedar akan kedalaman masalah yang dihadapi.
Adalah wajar kita melihat langkah yang dilaksanakan oleh ATM dan MINDEF dari satu sudut positif. Tambahan pula, langkah pertama untuk menyelesaikan sesuatu masalah adalah untuk memperakui bahawa masalah tersebut wujud dan ada, biarpun ia pahit ditelan.
Malah, mesej yang Amanat Tahun Baharu 2026 adalah luar biasa keras berbanding perutusan tahunan terdahulu.Jika amanat ini diterjemahkan melalui tindakan tegas dan berterusan, ia berpotensi menjadi titik pemulihan sebenar ATM. Namun jika gagal, amaran Menteri Pertahanan sendiri akan menjadi kenyataan bahawa ancaman paling berbahaya bukan datang dari luar, tetapi daripada kelemahan dalaman yang dibiarkan berlarutan.
Di sinilah terletaknya ujian sebenar sama ada ATM benar benar bersedia untuk melakukan reset yang diyakini rakyat, atau sekadar menukar naratif tanpa mengubah realiti. -airtimes.my
#ATM #Mindef #Pertahanan #Malaysia #Airtimes


