KUALA LUMPUR, 26 OGOS – Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz mempersoalkan kewajaran kerajaan membiayai pembinaan kilang pemasangan helikopter AW149 di Batu Berendam, Melaka, yang didakwa bakal dimiliki syarikat swasta.
Beliau mendakwa projek bernilai RM16.45 bilion itu memberi kelebihan kepada Syarikat Weststar Aviation Services Sdn. Bhd. serta pengeluar helikopter dari Itali, Leonardo. Namun, kedudukan kerajaan dalam soal pemilikan fasiliti berkenaan masih tidak jelas.
“Kerajaan Persekutuan yang akan membiayai kos pembinaan untuk kilang helikopter kepunyaan Weststar bernilai RM16.45 bilion. Siapakah pemilik sebenar kilang ini selepas siap kelak?” soalnya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Ikmal turut mempersoalkan rasional pemilihan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) sebagai lokasi projek, sedangkan Lapangan Terbang Subang sudah memiliki ekosistem aeroangkasa yang lebih lengkap, serta dekat dengan pusat industri pertahanan negara.
Menjawab persoalan berkenaan, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menjelaskan, projek tersebut merupakan sebahagian daripada obligasi tambahan di bawah Perjanjian Konsesi Pajakan 28 helikopter untuk agensi kerajaan yang ditandatangani pada 19 Disember 2024.
Menurutnya, Weststar bertanggungjawab membangunkan fasiliti berkenaan di LTAM dalam tempoh tiga tahun.
“Ini merupakan projek sewaan helikopter. Penentuan lokasi pemasangan adalah keputusan syarikat Weststar dan Leonardo. Apabila dikaitkan dengan Kertas Putih Pertahanan, kita lihat fasiliti di Batu Berendam juga mempunyai keupayaan aeroangkasa yang boleh menjadi pelengkap kepada strategi pertahanan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan bahawa MINDEF sekadar menjadi jurucakap syarikat swasta.
“MINDEF tidak menjadi jurucakap mana-mana pihak. Kami hanya menjawab berdasarkan maklumat teknikal dan keupayaan helikopter yang berkenaan. Persepsi banyak dibina, tetapi apa yang penting ialah helikopter ini memenuhi kepentingan operasi kita,” jelasnya.
Jelas Adly, projek tersebut dijangka menjadikan Malaysia sebagai hab pemasangan dan penyelenggaraan helikopter (MRO) terbesar di Asia Tenggara serta membuka peluang pekerjaan dalam sektor aeroangkasa. – airtimes.my
#pertahanan #AW149 #MINDEF #asetpertahanan #airtimes
