PUTRAJAYA, 26 OGOS – Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan tiba di Jeddah, Arab Saudi, pada 25 Ogos bagi menghadiri Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Dalam kenyataan, beliau menegaskan, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya rancangan Israel untuk mengambil alih Gaza secara ketenteraan dan menyifatkannya sebagai agenda menjajah wilayah Palestin secara kekal.
Sehubungan itu, beliau menggesa negara anggota OIC agar terus bersuara dan bertindak tegas bagi memperjuangkan keamanan serta keadilan untuk rakyat Palestin.
Beliau turut menyuarakan keprihatinan terhadap krisis kemanusiaan di Gaza yang menyaksikan peningkatan jumlah kematian, serta pengisytiharan kebuluran di wilayah tersebut oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mesyuarat tersebut juga telah meluluskan satu resolusi bertajuk “The 21st Extraordinary Session of the Council of Foreign Ministers of the Member States of the Organisation of Islamic Cooperation to Consider the Continuing Israeli Aggression Against the Palestinian People“.
Selain itu, Mohamad turut mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Algeria, Iran, Kuwait, Mesir, Pakistan dan Qatar bagi membincangkan pengukuhan kerjasama serta perkembangan terkini situasi Palestin. -airtimes.my
#Airtimes #MenteriLuarNegeri #KLN #OIC #Jeddah #Gaza #Palestin #Israel #Malaysia
