KUALA LUMPUR, 10 MAC – Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengakui kelemahan utama dalam sistem semak dan imbang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika ini bukan berpunca daripada ketiadaan peraturan, sebaliknya daripada kebergantungan tinggi terhadap pematuhan individu dalam pelaksanaan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, dalam keadaan tertentu perkara ini boleh mewujudkan ruang kepada konflik kepentingan, khususnya dalam urusan yang melibatkan kuasa budi bicara, keputusan strategik serta interaksi dengan pihak luar.
Menurut beliau, keadaan tersebut menyebabkan sesuatu isu hanya dapat dikesan selepas sesuatu keputusan dibuat. Risiko berkenaan tidak semestinya dikenal pasti pada peringkat awal.
Sehubungan itu, MINDEF komited memperkukuh pendekatan pengawasan dengan beralih daripada pemeriksaan selepas kejadian kepada sistem pengesanan berasaskan risiko.
Antara langkah yang diambil termasuk memperkasa peranan Bahagian Inspektorat Jeneral ATM bersama Inspektorat Perkhidmatan sebagai mekanisme semak dan imbang institusi.
“Pemeriksaan akan lebih berfokus, termasuk pemantauan berterusan terhadap proses berisiko tinggi serta penilaian integriti kepimpinan secara berkala tanpa mengira pangkat atau jawatan,” kata Adly dalam jawapan lisan di Dewan Negara.
Perkara itu dinyatakan oleh beliau bagi menjawab soalan Senator Susan Chemerai Anding berhubung langkah memperkukuh pengawasan dalaman, susulan penangkapan seorang pegawai tertinggi baru-baru ini.
Selain itu, ATM turut mempunyai Perintah Am Angkatan Tentera (PAAT) Bilangan 3 Tahun 2020 berkaitan Polisi Percanggahan Kepentingan. Polisi ini mewajibkan pengisytiharan kepentingan serta melarang penglibatan dalam keputusan yang mempunyai kepentingan peribadi.
Bagaimanapun, MINDEF memaklumkan langkah sedang diambil untuk memperketat pelaksanaannya. Ini bagi memastikan pematuhan tidak hanya bergantung kepada kesedaran individu semata-mata, tetapi disokong sistem pemantauan yang lebih tersusun.
Pada masa sama, MINDEF turut merancang menubuhkan Lembaga Pengukuhan Keutuhan dan Amanah yang bebas serta berwibawa. Lembaga ini akan menilai secara objektif isu berkaitan integriti, tadbir urus dan tatakelola di peringkat Kementerian serta perkhidmatan ATM.
Adly turut menegaskan, tindakan melibatkan individu tertentu tidak mencerminkan keseluruhan institusi ATM. Menurutnya, majoriti anggota ATM terus berkhidmat dengan integriti dan profesionalisme.
“Pendirian Kerajaan adalah jelas, iaitu tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan amanah,” tegas Adly.
Langkah pengukuhan kawalan dalaman ini dilaksanakan bukan sahaja bagi memperbetulkan kelemahan, tetapi memastikan institusi pertahanan negara terus diyakini rakyat dan kekal beroperasi pada tahap integriti tertinggi. – airtimes.my
