KEUPAYAAN adalah berkait rapat dengan kapasiti dan kemampuan sesuatu pasukan pertahanan. Ia juga merujuk kepada keupayaan dalam mencapai misi operasi dan objektif yang telah digariskan. Bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan, pembangunan keupayaan adalah dilakukan selari dengan perkembangan dan ancaman semasa.
Pembentukan keupayaan ini secara lazimnya menyentuh perolehan aset. Namun, ia turut melibatkan beberapa perkara lain termasuk sumber manusia, logistik, fasiliti dan industri serta polisi.
Seperti angkatan laut lain di dunia, Tentera Laut Diraja Malaysia mempunyai objektif, matlamat dan keperluannya tersendiri. Akan tetapi, ketiga-tiga perkara ini adalah berbeza dari sesebuah negara ke negara yang lain.
Mengambil contoh dalam negara-negara anggota kerjasama AUKUS, kita dapat melihat perbezaan postur armada antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Antara perkara yang boleh dilihat adalah pengoperasian kapal induk atau kapal pengangkut pesawat. (aircraft carrier).
Tentera Laut AS (US Navy) mengoperasikan 10 kapal induk kelas NIMITZ dan sebuah lagi dari kelas GERALD R. FORD. United Kingdom pula kini mempunyai 2 buah kapal induk dari QUEEN ELIZABETH. Sementara itu, Tentera Laut Diraja Australia pula tidak mengoperasikan kapal induk. Tetapi, angkatan laut negara itu mengoperasikan Landing Helicopter Dock (LHD) dari kelas CANBERRA.
Pengoperasian kapal induk satu perkara yang mudah dan tidak semua negara, termasuk Malaysia mempunyai matlamat untuk mengoperasikan aset sebegini. Bagi TLDM, pembentukan keupayaan armadanya telah pun digariskan secara terperinci dalam Pelan Transformasi 15-to-5.
Pembentukan keupayaan angkatan laut adalah selari dengan usaha untuk mencapai objektif strategik negara. Pembentukan ini membolehkan TLDM melaksanakan peranannya dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara. Matlamat sebegini merupakan salah satu perkara kritikal dalam memastikan hala tuju dan kemandirian serta mempertahankan kedaulatan negara sepanjang masa.
Malaysia sebagai Negara Maritim
Semenjak pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, objektif strategik negara dalam hal pertahanan dan kedaulatan terutamanya dari sudut maritim adalah hampir sama. Ini dengan melihat ketiga-tiga dokumen yang menjadi rujukan penulis iaiut Dasar Pertahanan Negara (DPN), Kertas Putih Pertahanan (KPP) dan Dasar Keselamatan Negara (DKN).
Ketiga-tiga dokumen rasmi ini menggariskan kawasan kedaulatan Malaysia adalah merangkumi kawasan daratan, perairan dan ruang udara. Dalam artikel ini, penulis ingin memberikan fokus kepada keupayaan pertahanan maritim.
Keupayaan Pertahanan Maritim merupakan satu objektif kritikal buat Malaysia. Kedudukan negara dalam laluan perairan strategik perdagangan global adalah satu realiti dan ini telah dibuktikan melalui sejarah serta perkembangan semasa. Malah, status Malaysia sebagai sebuah Negara Maritim bukanlah satu perkara baharu untuk dibincangkan.
Agenda Malaysia sebagai sebuah Negara Maritim telah lama disuarakan dan ia terkandung dalam Rancangan Malaysia ke-4 (RMKe-4) yang dilaksanakan pada tahun 1981- hingga 1985. Dalam rancangan ini, agenda Malaysia sebagai Negara Maritim digariskan sebagai satu objektif jangka panjang oleh kerajaan pada ketika itu.
Untung nasib sesebuah Negara Maritim terutamanya dari sudut ekonomi adalah bergantung penuh kepada pelayaran dan kehadiran kapal-kapal dagang yang melalui perairannya. Bagi memastikan perkara ini dapat dicapai, hal keselamatan merupakan jadi satu kriteria utama buat pelabur asing untuk berurus niaga. Hubungan antara aspek keselamatan dan ekonomi seringkali menjadi perdebatan sehinggakan ia menolak tepi kepentingan kedua-dua perkara ini.
Pemahaman mudah bagi perkara ini adalah – “tiada siapa ingin berniaga di kawasan yang dipenuhi dengan penjenayah atau perompak”.
Pada tahun ini, Malaysia menyambut ulang tahun ke-59 pembentukannya sebagai sebuah Negara Persekutuan yang berdaulat. Walaupun telah melebihi usia separuh abad, negara Malaysia yang merdeka ini tidak terlepas daripada sebarang ancaman keselamatan baik ancaman tradisional dan bukan tradisional. Kedua-dua ancaman ini turut berlaku di kawasan perairan negara.
Selain isu pertindihan wilayah, Malaysia berhadapan dengan kesan pergeseran kuasa geopolitik dunia di kawasan Indo-Pasifik dan juga pencerobohan kapal-kapal dari negara asing. Malah, ancaman kegiatan pengganas serta pelanunan masih berlaku di kawasan-kawasan perairan negara jiran. – airtimes.my