Home Pertahanan dan Keselamatan Kerajaan Perancis beri keutamaan siapkan LCS – Hishammuddin

Kerajaan Perancis beri keutamaan siapkan LCS – Hishammuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Kerajaan Perancis menyatakan bahawa pihaknya meletakkan keutamaan tertinggi untuk meneruskan dan menyiapkan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata demikian selepas membuat pertemuan bersama pihak kerajaan Perancis, pada Khamis.

“Pertemuan bersama pihak kerajaan Perancis memberi tumpuan terhadap komitmen antara kerajaan kedua-dua negara berhubung perolehan LCS,

“Seperkara yang cukup penting, kerajaan Perancis sendiri menyatakan bahawa meneruskan dan menyiapkan LCS adalah keutamaan tertinggi kerajaan Perancis,” kata Hishammuddin menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook malam tadi.

Beliau berkata, ia adalah perkembangan yang mustahak terutama di fasa mobilisasi 6 bulan seperti diputuskan Jemaah Menteri, April lalu.

“Malah komitmen kerajaan Perancis ini juga selari dengan syor beberapa pihak terutama Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) serta keputusan Jemaah Menteri supaya projek LCS diteruskan demi kepentingan Tentera Laut Diraja Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, wakil kerajaan Perancis dalam ucapannya memaklumkan pihaknya teruja untuk meneruskan semua kerjasama antara kedua-dua negara di dalam pelbagai bidang yang dibincangkan termasuk di luar kementerian.

“Kami bertekad untuk bantu sebaik mungkin dan menjemput Datuk Seri (Hishammuddin) jika perlu,

“Kami akan usahakan projek LCS dan projek-projek lain,” katanya dalam video dimuat naik di hantaran berkenaan.

Isu LCS ini timbul ekoran laporan PAC setelah memanggil beberapa saksi dan hasil prosiding itu mendapati kontrak projek LCS diberikan kepada syarikat BNS (Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd.) secara rundingan terus dengan kerajaan membayar RM6.083 bilion, namun tiada sebuah kapal LCS disiapkan.

Menurut jadual asal, sepatutnya 5 kapal harus disiapkan dan diserah sehingga Ogos 2022.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply