TEL AVIV, 23 SEPT – Israel berikrar tidak akan membenarkan kapal yang digerakkan di bawah inisiatif “ Global Sumud Flotilla” memasuki Semenanjung Gaza kerana ia dianggap sebagai penganjuran oleh Hamas.
Dalam kenyataan rasmi menerusi X, Israel menyatakan tidak akan mengizinkan mana-mana kapal merapati zon pertempuran aktif mahupun melanggar sekatan laut yang dilakukan Tel Aviv.
“Flotilla ini, yang dianjurkan oleh Hamas, bertujuan untuk berkhidmat kepada Hamas,
“Israel tidak akan membenarkan mana-mana kapal memasuki zon pertempuran yang sedang aktif dan tidak akan membenarkan sebarang pelanggaran terhadap sekatan laut,” menurut kenyataan itu.
Israel dalam masa sama menegaskan, sekiranya hasrat sebenar peserta flotila adalah menyalurkan bantuan kemanusiaan, mereka diminta berlabuh di Marina Ashkelon untuk memunggah bantuan tersebut.
Bantuan berkenaan kemudiannya akan dipindahkan ke semenanjung Gaza dengan segera.
“Israel menggesa para peserta supaya tidak melanggar undang-undang dan menerima cadangan Israel bagi pemindahan bantuan secara aman,” tambah kenyataan itu.
Untuk rekod, Flotila berkenaan dikenali sebagai Global Sumud Flotilla yang dilancarkan pertengahan tahun ini sebagai usaha antarabangsa untuk menamatkan sekatan laut ke atas Gaza.
Ia melibatkan lebih 50 buah kapal dan bot yang berlepas dari beberapa pelabuhan Mediterranean termasuk Barcelona, Genoa, Tunis dan Catania.
Misi kemanusiaan ini menghimpunkan lebih 1,000 peserta antarabangsa daripada 44 negara terdiri daripada aktivis, petugas perubatan, wartawan serta orang awam.
Malaysia turut menghantar seramai 15 wakil yang menyertai konvoi tersebut bersama delegasi negara lain.
Penganjur flotila menegaskan tujuan mereka bukan sekadar menghantar bantuan kemanusiaan tetapi juga mendesak pembukaan koridor kemanusiaan ke Gaza serta menzahirkan solidariti antarabangsa kepada rakyat Palestin. -airtimes.my
#airtimes #Gaza #SumudFlotilla #sekatan #konflik #bantuankemanusian

