BANGKOK, 24 SEPT – Perang sempadan antara Thailand dan Kemboja memberi kesan langsung kepada sektor industri dan eksport Thailand apabila kekurangan tenaga kerja serta masalah logistik menekan daya saing negara itu di pasaran antarabangsa.
Pengerusi Persekutuan Industri Thailand cawangan Nakhon Ratchasima, Thidarat Rodanant berkata ramai pekerja Kemboja pulang ke negara mereka akibat konflik berkenaan, sekali gus menimbulkan kekurangan tenaga kerja dalam banyak kilang yang bergantung kepada buruh asing dari Myanmar, Laos dan Kemboja.
“Apabila pekerja Kemboja pulang, ia memberi kesan kepada sektor industri. Banyak kilang bergantung kepada tenaga kerja asing. Kekurangan ini menjejaskan operasi,” katanya dipetik Bangkok Post.
Beliau menambah bahawa gangguan di sempadan juga memaksa syarikat mengalihkan laluan logistik melalui Laos, mengakibatkan kos tambahan. “Perniagaan akan lega jika isu ini dapat diselesaikan segera supaya sempadan boleh dibuka semula dan ekonomi pulih untuk kebaikan kedua-dua negara,” katanya.
Thidarat turut menegaskan bahawa penyelesaian terhadap konflik mesti dilakukan segera tanpa mengorbankan kedaulatan negara, namun hubungan baik antara Thailand dan Kemboja perlu dikekalkan selepas krisis berakhir.
Selain isu keselamatan, sektor eksport Thailand turut terjejas akibat kenaikan kos pengeluaran termasuk harga tenaga elektrik yang lebih tinggi berbanding Vietnam dan Malaysia. Baht yang kukuh juga menambah tekanan, menyebabkan produk seperti tepung ubi kayu Thailand hilang daya saing berbanding Vietnam.
Menurut Thidarat, eksport tepung ubi kayu Thailand kehilangan pasaran kepada Vietnam pada separuh pertama tahun ini apabila harga produk Vietnam lebih murah sehingga AS$50 (RM1,600) satu tan berikutan kejatuhan nilai dong.
#Konflik #sempadan #Thailand #Kemboja #asean #airtimes



