Home SemasaKerugian akibat scam di Meta cecah RM 248 juta – Fahmi

Kerugian akibat scam di Meta cecah RM 248 juta – Fahmi

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 23 SEPTEMBER – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mendedahkan penipuan dalam talian di platform Meta, khususnya Facebook, Instagram dan WhatsApp, telah mengakibatkan kerugian terkumpul melebihi RM248 juta sejak September 2023 hingga Ogos 2025.

Menurut beliau, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 18,128 kes direkodkan dalam tempoh berkenaan, melibatkan penipuan e-dagang, judi dalam talian dan skim penipuan lain.

“Jumlah ini menunjukkan Meta masih gagal memberi kerjasama penuh dalam membanteras aktiviti jenayah siber. Tindakan lebih berkesan diperlukan bagi melindungi rakyat daripada ancaman jenayah dalam talian yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan di akaun media sosial rasmi beliau, semalam.

Beliau turut mendedahkan bahawa setakat 19 September 2025, pihak berkuasa telah mengemukakan 168,774 permohonan kepada Meta untuk menurunkan kandungan berbahaya di Facebook. Namun hanya 59 peratus dilaksanakan sepenuhnya.

Daripada jumlah itu, lebih 120,000 permohonan melibatkan kandungan judi dalam talian. Baki kes pula membabitkan penipuan kewangan, berita palsu, kandungan bersifat 3R (agama, kaum, institusi diraja) serta penjualan produk terlarang termasuk e-rokok dan dadah.

Fahmi menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan digital dan menyeru Meta memperkukuh mekanisme pengesahan umur serta identiti pengguna. “Meta wajib memikul tanggungjawab lebih besar untuk memastikan kandungan yang melanggar undang-undang segera diturunkan,” tegasnya.

Kementerian Komunikasi bersama agensi penguat kuasa lain akan terus memperketat pemantauan dan mempertimbangkan tindakan lanjut sekiranya tahap kerjasama Meta tidak dipertingkatkan.– airtimes.my

#AirTimesNewsNetwork #Semasa #JenayahSiber #PDRM #KKD #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply