KUALA LUMPUR, 23 SEPTEMBER – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan kerjasama dengan Korea Selatan merupakan elemen penting dalam memperkukuh ekosistem pertahanan Malaysia yang lebih mapan, inovatif dan berdaya saing.
“Ancaman keselamatan hari ini merangkumi bukan sahaja darat, laut dan udara, tetapi juga siber, angkasa serta domain elektromagnetik.
“Malaysia melihat Korea sebagai rakan penting dalam membina kerjasama pertahanan yang berpandangan jauh serta praktikal,” kata Menteri Pertahanan dalam satu hantaran di akaun media sosial rasmi beliau.
Menurut Khaled, Malaysia kini giat memperkukuh industri pertahanan melalui inovasi, penguasaan teknologi dan pengurangan kebergantungan luar. Beliau menambah bahawa Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) akan menjadi pemacu utama kepada pembangunan sektor pertahanan tempatan.

Mohamed Khaled ketika memberikan ucapan di 3rd Malaysia-Korea Defence Industry Seminar 2025 di Kuala Lumpur pada Isnin. FOTO: Khaled Nordin
“Dalam konteks ini, pemindahan teknologi, pembangunan bersama dan latihan dengan Korea amat penting untuk memperkukuh ekosistem pertahanan negara. Kerjasama ini bukan sekadar soal perolehan aset, tetapi satu perkongsian strategik,” jelasnya.
Semalam, Khaled Nordin telah menghadiri 3rd Malaysia-Korea Defence Industry Seminar 2025 di Kuala Lumpur semalam yang bertemakan “Strategic Convergence, Technology, Defence and Geopolitics in the Malaysia-Korea Partnership”.
Seminar tersebut menghimpunkan pemain industri pertahanan dari kedua-dua negara, dengan tumpuan kepada potensi pembangunan bersama dan sinergi teknologi yang boleh menyokong kesiapsiagaan serta kemandirian pertahanan Malaysia. -airtimes.my
#Pertahanan #Malaysia #KoreaSelatan #ATM #airtimes
