KUALA LUMPUR, 24 SEPT – Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menegaskan angkatan darat mesti mengadaptasi teknologi muncul seperti kecerdasan buatan (AI), sistem udara tanpa pemandu dan platform autonomi dalam mendepani bentuk peperangan moden.
Beliau berkata teknologi baharu itu kini mengubah landskap peperangan dan perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan keupayaan pertahanan negara. Namun, beliau mengingatkan teknologi tidak boleh menggantikan peranan askar sebagai tunjang utama kekuatan ketenteraan.
“Teknologi yang muncul seperti AI, sistem tanpa pemandu dan platform autonomi sedang mengubah sifat peperangan. Kita mesti menerima keupayaan ini, tetapi memastikan ia berfungsi untuk memperkukuh, bukan menggantikan askar,” katanya ketika berucap pada Persidangan Panglima Tentera Darat Indo-Pasifik ke-14 (IPACC), Seminar Pengurusan Tentera Darat Indo-Pasifik ke-49 (IPAMS) dan Forum Pemimpin Kanan Bersenjata ke-11 (SELF) di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut beliau, adaptasi teknologi bukan sahaja memerlukan pelaburan dalam aset pertahanan baharu, tetapi juga perubahan doktrin dan minda dalam kalangan pemimpin serta anggota tentera.
Adly menegaskan transformasi ini penting bagi memastikan angkatan darat sentiasa berdaya saing dalam menghadapi ancaman hibrid dan cabaran zon kelabu yang semakin kompleks.– airtimes.my
#AirTimesNewsNetwork #Semasa #MINDEF #ATM #TenteraDarat #TeknologiPertahanan
