KYIV, 25 SEPT – Tentera Udara Ukraine mengesahkan pihaknya berjaya menembak jatuh sebuah jet pejuang Su-34 milik Rusia di sektor Zaporizhzhia pada awal pagi Khamis.
Menurut kenyataan rasmi, pesawat tersebut ditembak jatuh sekitar jam 4 pagi waktu tempatan ketika ia dilaporkan sedang melancarkan serangan ke arah bandar Zaporizhzhia.
Su-34 merupakan pesawat pejuang/pengebom jarak sederhana era Soviet yang berupaya membawa pelbagai jenis senjata termasuk bom berpandu dan peluru berpandu udara-ke-darat.
Pesawat ini telah digunakan secara meluas oleh Rusia dalam serangan terhadap bandar-bandar Ukraine, terutama bagi melancarkan serangan jarak jauh dari kawasan relatif selamat di belakang garisan hadapan.
Tentera Ukraine sebelum ini turut melaporkan kejayaan menyasarkan pesawat jenis sama melalui serangan ke atas pangkalan udara Rusia.
Su-34 dianggap aset penting dalam doktrin serangan Rusia kerana kebolehannya untuk melaksanakan serangan strategik ke atas infrastruktur serta mengekalkan tekanan berterusan terhadap kedudukan pertahanan Ukraine.
Serangan udara Rusia ke atas Ukraine dilihat semakin meningkat sejak musim bunga dan musim panas 2025, dan pihak berkuasa Kyiv menjangkakan kempen serangan tersebut akan lebih intensif menjelang musim sejuk, khususnya ke atas infrastruktur tenaga negara itu. – airtimes.my
#airtimes #Ukraine #Rusia #Su34 #konflik #pertahanan #global

