DESARU, 24 SEPTEMBER – Malaysia menegaskan kepemimpinannya dalam bidang keselamatan serantau apabila mempengerusikan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Pertahanan ASEAN (ADSOM) 2025 di Desaru, Johor.
Mesyuarat itu membincangkan 10 inisiatif pertahanan baharu yang akan dibawa ke Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 pada Oktober depan. Inisiatif tersebut bertujuan memperkukuh kerjasama praktikal, meningkatkan kesiapsiagaan operasi serta membina daya tahan kolektif ASEAN dalam menghadapi ancaman keselamatan tradisional dan bukan tradisional.
Menurut kenyataan rasmi Kementerian Pertahanan, inisiatif itu merangkumi langkah memperkukuh perkongsian maklumat, meningkatkan latihan bersama, memperluas kerjasama kemanusiaan dan bencana, serta mengoptimumkan peranan ADMM-Plus sebagai platform melibatkan kuasa besar.
Malaysia turut menegaskan kepentingan ADSOM sebagai pemangkin kepada ADMM dan ADMM-Plus dalam memastikan ASEAN kekal bersepadu dan berpusat dalam ekosistem keselamatan Indo-Pasifik.
Mesyuarat kali ini juga menyaksikan kehadiran Timor-Leste sebagai pemerhati, menandakan langkah positif ke arah penyertaan penuh negara itu dalam ASEAN.– airtimes.my
#AirTimesNewsNetwork #Semasa #ADSOM2025 #PertahananASEAN #ADMM #Malaysia #ASEAN
