KUALA LUMPUR, 19 SEPT – Aerotree Defence & Services Sdn Bhd telah memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia berjumlah RM353 juta berhubung pembatalan kontrak penyewaan empat helikopter Blackhawk UH-60A.
Saman itu menamakan kerajaan, Kementerian Pertahanan serta Ketua Setiausaha kementerian sebagai defendan. Ia difailkan selepas perjanjian penyewaan helikopter yang dimeterai pada April 2023 dibatalkan oleh kerajaan pada 31 Oktober 2024.
Menurut laporan oleh beberapa media tempatan, saman dikemukakan oleh Aerotree melibatkan kontrak penyewaan empat helikopter Blackhawk selama lima tahun dengan syarat penghantaran dua unit dalam tempoh enam bulan pertama dan dua unit lagi dalam tempoh sembilan bulan. Syarikat itu turut menyediakan bon pelaksanaan berjumlah RM1.87 juta pada Jun 2023.
Plaintif mendakwa telah mengambil langkah melaksanakan kontrak termasuk mengatur latihan simulator dengan Havelsan, Turkiye untuk 14 juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia serta memeterai perjanjian pembelian dan naik taraf helikopter dengan pembekal di Slovakia.
Walaupun terdapat kelewatan akibat faktor teknikal, konflik Rusia-Ukraine serta isu kawal selia eksport Amerika Syarikat (ITAR), Aerotree memohon lanjutan masa sehingga 30 Oktober 2024. Menurut syarikat itu, kelewatan turut berpunca daripada penangguhan kerajaan dalam menyediakan dokumen sokongan kewangan termasuk akuan amanah yang diperlukan untuk pembayaran awal.
Sebaliknya, Kementerian Pertahanan menamatkan kontrak tersebut dengan alasan Aerotree gagal menyerahkan helikopter mengikut jadual. Aerotree menyatakan penamatan itu tidak sah dan menjejaskan reputasi syarikat.
Syarikat itu menuntut ganti rugi khas RM17.5 juta, ganti rugi tambahan RM38.7 juta serta pampasan AS$38.7 juta (sekitar RM297.3 juta). Selain itu, Aerotree memohon mahkamah menghalang kerajaan daripada menggunakan jaminan bank berjumlah RM1.87 juta yang telah dikemukakan.
Kes berkenaan ditetapkan untuk pengurusan pada 23 Oktober ini di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. — airtimes.my
