Home DiskusiJurang anggota simpanan ATM dan cabarannya kepada pertahanan negara

Jurang anggota simpanan ATM dan cabarannya kepada pertahanan negara

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Pertahanan dan keselamatan merupakan tunjang utama dalam membangunkan sebuah negara berdaulat dan demokratik. Bagi memastikan rakyat hidup dalam ruang yang aman dan sejahtera, sektor pertahanan memainkan peranan besar sebagai benteng hadapan dalam menangkis ancaman serta menjamin kestabilan negara.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sebagai tonggak pertahanan bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara. Selain kelengkapan persenjataan moden, kekuatan fizikal serta keupayaan anggota tentera menjadi faktor penentu dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks. Dalam konteks ini, kesiapsiagaan ATM tidak hanya bergantung kepada anggota tetap, tetapi turut memerlukan sokongan anggota simpanan.

Baru-baru ini, Kementerian Pertahanan memaklumkan ATM masih berdepan kekurangan anggota simpanan apabila jumlahnya hanya sekitar 34,000 orang berbanding 121,000 anggota tetap yang bertugas ketika ini. Anngota simpanan ini terdiri daripada Rejimen Askar Wataniah, PALAPES, Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) serta Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan, angka itu jauh daripada sasaran nisbah 1:1, iaitu seorang anggota simpanan bagi setiap seorang anggota tetap seperti yang digariskan oleh ATM. Situasi ini memberi cabaran besar kepada kesiapsiagaan negara, selain menggambarkan kurangnya minat generasi muda untuk menyertai pasukan simpanan.

Beliau menegaskan, ancaman moden seperti serangan siber, bencana alam dan pandemik menuntut peranan anggota simpanan yang lebih meluas. Justeru, penglibatan golongan muda dalam pasukan simpanan amat penting sebagai pelapis yang mampu menguasai teknologi baharu dalam pertahanan masa kini, termasuk bidang keselamatan siber, dron, kecerdasan buatan (AI) dan robotik.

Khaled berkata demikian, ketika menyampaikan Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan bersama Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam, yang diadakan sempena Majlis Perbarisan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam ke-43 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

“Graduan yang melalui latihan PALAPES bukan sahaja mempunyai disiplin ketenteraan asas, tetapi juga ilmu akademik dan kepakaran teknologi. Gabungan ini menjadikan mereka aset penting untuk meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan negara menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan,” ujarnya lagi.

Oleh itu, kelahiran generasi muda yang berkemahiran dan berjiwa patriotik amat digalakkan, agar bersama-sama menyumbang kepada pengukuhan pertahanan negara, sekali gus memperkukuh kedudukan sektor pertahanan di mata dunia.

Kepentingan anggota simpanan dalam struktur pertahanan

Peranan anggota simpanan bukan hanya menampung kekosongan, namun menggerakkan sebuah pasukan yang kukuh dan berdaya meningkatkan kecekapan serta kelancaran operasi.  Foto: Pasukan Simpanan Tentera Udara

 

Anggota simpanan bukan sekadar pasukan tambahan, sebaliknya berperanan sebagai lapisan kedua dalam sistem pertahanan negara. Mereka bertindak sebagai pengganda kuasa kepada anggota tetap dengan melaksanakan tugasan sokongan serta menggantikan kekosongan apabila diperlukan.

Peranan mereka semakin penting kerana cabaran geopolitik masa kini menuntut kehadiran tenaga pertahanan yang fleksibel dan bersedia. Namun, jumlah semasa anggota simpanan masih jauh daripada tahap yang ideal. Hal ini, sedikit sebanyak menjejaskan keupayaan ATM melaksanakan operasi berskala besar, termasuk dalam menangani bencana alam, keganasan atau konflik bersenjata.

Implikasi kepada mobilisasi negara

Kekurangan anggota simpanan memberi kesan kepada kepantasan mobilisasi ketenteraan. Proses menggerakkan pasukan akan mengambil masa lebih lama dan memberi tekanan kepada sumber sedia ada. Sebaliknya, jika dilihat kepada negara-negara yang mempunyai nisbah anggota simpanan lebih seimbang, mampu mengaktifkan ribuan tentera dalam tempoh singkat, sekali gus meningkatkan keupayaan cegah rintang terhadap ancaman.

Kekangan yang melibatkan sektor pertahanan ini juga boleh menyebabkan ATM terpaksa mengagihkan sumber secara terhad sekiranya berlaku ancaman serentak di beberapa lokasi strategik. Keadaan ini berpotensi menjejaskan keberkesanan tindak balas, bukan sahaja dalam operasi konvensional tetapi juga misi bukan ketenteraan seperti bantuan kemanusiaan, pengurusan bencana dan kawalan sempadan.

Ke arah memperkukuh pertahanan

Bagi memastikan kesiapsiagaan pertahanan negara kekal optimum, usaha meningkatkan penyertaan rakyat dalam pasukan simpanan wajar diperkukuh. Antaranya dengan mengadakan kempen nasional bagi memupuk kesedaran awam sejak di bangku sekolah. Langkah ini penting bagi membina kefahaman bahawa mempertahankan negara adalah tanggungjawab bersama dan bukan semata-mata bergantung kepada anggota tetap ATM.

Kekurangan anggota simpanan ATM bukan sekadar isu angka, tetapi membabitkan masa depan pertahanan negara. Tanpa sokongan pasukan simpanan yang mantap, kesiapsiagaan pertahanan tidak berdaya menjalankan operasi dengan pantas dan berkesan. Malaysia perlu memastikan struktur pertahanannya seimbang agar mampu berdaya saing dengan negara lain dalam menghadapi cabaran keselamatan masa hadapan. -airtimes.my

#Airtimes #anggotasimpanan #ATM #Pertahanan #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply