Dalam dunia pertahanan moden, mobiliti pantas dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai medan operasi menjadi keutamaan.
Di sinilah lahirnya Magatti, kenderaan serangan ringan rekaan Cendana Auto, sebuah syarikat tempatan yang semakin dikenali dalam arena pembangunan kenderaan taktikal.
Magatti bukan sekadar penambahbaikan kosmetik, tetapi sebuah evolusi yang memperlihatkan kematangan industri pertahanan Malaysia dalam menghasilkan produk sendiri.
Evolusi daripada SOV
Dari segi asas, Magatti masih berkongsi DNA dengan Special Operation Vehicle (SOV) yang pernah diperkenalkan sebelum ini.
Kedua-duanya menggunakan enjin turbo diesel 2.8 liter dengan kuasa lebih 200 kuasa kuda, cukup untuk menggalas beban operasi berat di medan tempur.
Kesamaan ini memberi kelebihan besar dari segi penyelenggaraan kerana rantaian bekalan dapat diseragamkan, sekali gus memudahkan sokongan logistik.
Namun, di sinilah persamaan itu berakhir. Magatti direka dengan falsafah baharu iaitu lebih besar, lebih lasak, dan lebih fleksibel.
Jika SOV lebih sesuai untuk pasukan kecil operasi khas, Magatti tampil dengan keupayaan membawa sehingga 12 kru, lengkap dengan ruang tambahan untuk peralatan tempur.

Ruang dalaman Magatti yang mampu menempatkan sehingga 12 kru, direka untuk keselesaan dan keberkesanan operasi taktikal. Foto: AirTimes/Zulhaizi
Struktur badannya dibina agar mudah dipasang pelbagai jenis persenjataan, daripada mesingan berat sehinggalah pelancar granat automatik. Dengan konfigurasi ini, Magatti boleh berfungsi sebagai kenderaan sokongan bergerak dalam misi taktikal.
Ciri khas Magatti
Ketahanan dan jarak operasi juga menjadi kelebihan. Magatti dilengkapi dengan tangki bahan api lebih besar yang membolehkannya menempuh sehingga 600 kilometer tanpa perlu mengisi semula.
Kelajuan maksimum dalam ujian mencapai tahap yang setanding kenderaan ringan antarabangsa, walaupun dalam operasi sebenar ia akan dihadkan mengikut standard ketenteraan.
Suspensi dan sistem pemanduan turut direka untuk mengharungi laluan hutan, padang pasir, dan jalan berbatu tanpa menjejaskan kestabilan kenderaan.
Satu aspek menarik mengenai Magatti ialah kemampuannya dibawa menggunakan pesawat angkut C-130 Hercules ataupun helikopter pengangkut.
Ciri ini memberi kelebihan besar kerana unit pasukan boleh digerakkan dengan pantas ke lokasi operasi jauh tanpa perlu bergantung pada laluan darat.
Dalam era peperangan moden, keupayaan untuk memindahkan aset dengan cepat adalah faktor penentu keberhasilan misi.
Sudah tentu, perubahan ini hadir dengan kompromi atau sedikit kekurangan. Magatti lebih besar dan lebih berat berbanding SOV, menjadikannya kurang lincah di kawasan sempit.
Enjin yang sama juga bermaksud ada had dari segi prestasi maksimum, terutama apabila kenderaan penuh muatan.
Namun, reka bentuk modularnya memberi nilai tambah kerana ia boleh disesuaikan mengikut keperluan ketenteraan sebagai kenderaan serangan ringan.
Kelengkapan senjata di medan pertempuran
Magatti direka dengan fokus jelas pada fleksibiliti persenjataan supaya dapat disesuaikan mengikut kehendak misi. Susunan tempat pasukan dan ruang kargo membolehkan krew mengoperasikan pelbagai konfigurasi senjata secara cekap.
Di posisi hadapan kiri, kenderaan ini boleh dipasangkan dengan mesingan serba guna yang dipasang pada mount yang kukuh, membolehkan penembak menyasarkan sasaran di hadapan dengan sudut tembakan yang luas dan kestabilan semasa bergerak.
Manakala di atas bumbung, dilengkapi dengan cincin mount yang mampu menampung mesingan 12.7 mm atau pelancar granat automatik 40 mm bagi peranan sokongan pemusnahan sasaran ringan hingga sederhana.

Pelancar grenad asap yang dipasang pada Magatti, memberikan keupayaan perlindungan dan penyamaran segera di medan tempur. Foto: AirTimes/Zulhaizi
Selain itu, Magatti turut dilengkapi dengan pelancar granat asap yang boleh digunakan untuk menyamarkan pergerakan, mengaburi penglihatan musuh dan memudahkan evakuasi atau pengubahsuaian posisi semasa konflik.
Kelengkapan persenjataan ini menjadikan Magatti mampu memberi sokongan serangan rendah khususnya untuk tugasan penyelamatan atau penyusupan.
Lambang keupayaan industri pertahanan tempatan
Dari sudut industri, Magatti membawa mesej yang jelas bahawa syarikat tempatan mampu menghasilkan kenderaan yang kompetitif dan relevan di pasaran serantau.
Kenderaan ini bukan sekadar prototaip percubaan, tetapi hasil pembangunan yang berpaksikan pengalaman sebenar medan tempur serta keperluan taktikal pasukan keselamatan.
Kehadiran Cendana Auto dalam pameran pertahanan antarabangsa bukan hanya simbolik, tetapi mencerminkan usaha serius untuk menempatkan produk Malaysia setaraf dengan pemain global yang sudah lama menguasai pasaran.
Lebih penting, Magatti menunjukkan bahawa industri pertahanan negara kini beranjak daripada sekadar pengguna kepada pengeluar, dengan kemampuan menambah nilai melalui reka bentuk modular, integrasi persenjataan pelbagai dan sokongan logistik yang tersusun.
Jika berjaya menembusi pasaran eksport, Magatti boleh menjadi lambang baharu keupayaan tempatan dalam teknologi pertahanan, sekali gus membuka jalan untuk kerjasama antarabangsa, pemindahan teknologi dan peluang ekonomi yang lebih luas kepada Malaysia.-airtimes.my
#AirTimes #TeknologiPertahanan #Magatti #CendanaAuto #PertahananMalaysia
