KUALA LUMPUR, 28 Nov – Perolehan aset dan bekalan senjata yang diperlukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditentukan sendiri oleh perkhidmatan yang memerlukan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keperluan 3 cabang utama dalam ATM sama ada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mahupun Tentera Darat Malaysia (TDM) menjadi asas utama dalam pemilihan aset pertahanan negara.
“Setiap cabang tentera memutuskan spesifikasi masing-masing berdasarkan keperluan. Yang minta dan beri syarat ini ialah pasukan, bukan kerajaan,” katanya ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) sama ada helikopter yang dibekalkan kepada tentera sudah menjalani ujian dan memenuhi spesifikasi ketenteraan.
Anwar turut menjelaskan bahawa keputusan dibuat melalui kajian teliti oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dengan mengutamakan aspek Operasi, Penyelenggaraan dan Pembaikan (MRO).
“Proses ini dilakukan secara langsung tanpa melibatkan ejen. Kita menggunakan pendekatan kerajaan ke kerajaan (G2G) untuk memastikan ketelusan, sambil memberi keutamaan kepada syarikat tempatan yang berprestasi baik,” tambahnya.
Ujarnya, syarikat Leonardo turut diminta membuat penyesuaian bagi memenuhi permintaan pasukan keselamatan berkenaan.
“Mereka (TLDM) tetapkan spesifikasi dan spesifikasi itu mesti dipenuhi. Dan sebab itu Leonardo dia bangkitkan tentang keperluan, mereka buat beberapa penyesuaian untuk memenuhi permintaan pengguna,” ujarnya lagi.
Dalam masa yang sama, Anwar turut tidak setuju sekiranya isu pembelian senjata dan keistimewaan helikopter untuk ATM dibahaskan oleh Jawatankuasa Parlimen.
“Tidak ada negara di dunia ini yang bincang soal keperluan teknikal keselamatan untuk bicara cara umum. Tidak boleh,
“Saya tidak fikir wajar untuk keselamatan negara. Untuk kita bincang cara teliti soal spesifikasi dan keperluan, kekuatan masing-masing tentera kita,” tegasnya lagi. -airtimes.my
#pertahanan #airtimes #Malaysia #bajet #Anwar
