Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Tentera Laut Malaysia, Singapura tingkat keupayaan tangani ancaman maritim

Tentera Laut Malaysia, Singapura tingkat keupayaan tangani ancaman maritim

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Eksesais MALAPURA 32/24 telah mengukuhkan hubungan pertahanan bilateral antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Republik Singapura (TLRS), sekaligus meraikan ulang tahun ke-40 sejak kerjasama ini bermula pada 1984.

Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat (MPA Barat) berkata, eksesais ini menjadi platform utama bagi meningkatkan keupayaan bersama dalam keselamatan maritim serantau bagi kedua-dua negara sejak penganjuran sulungnya pada tahun 1984.

Eksesais yang berlangsung dari 13 hingga 24 November ini melibatkan 3 fasa iaitu Fasa Pelabuhan, Laut, dan Penutup dengan penglibatan aset seperti KD LEKIU, KD LEKIR, KD GEMPITA dan sebuah helikopter Fennec dari TLDM.

Manakala TLRS telah menugaskan RSS SUPREME, RSS VIGILANCE, RSS VALIANT serta sebuah helikopter Seahawks.

Menurut MPA Barat, fokus utama latihan ini adalah meningkatkan keupayaan interoperabiliti melalui latihan peperangan anti-udara, paras permukaan, navigasi, komunikasi dan ilmu kelautan.

Latihan-latihan ini bukan sahaja menguji aspek teknikal aset dan anggota tetapi juga memperkasakan kemahiran taktikal dan mewujudkan kesefahaman kedua-dua angkatan dalam operasi bersama.

“Setiap aset menunjukkan kewibawaan dalam melaksanakan siri latihan yang dirancang, mempamerkan profesionalisme kedua-dua angkatan laut,

“Kejayaan Fasa Laut ini mencerminkan interoperabiliti yang mantap antara TLDM dan TLRS, membuktikan bahawa hubungan erat selama 40 tahun telah diterjemahkan kepada keupayaan operasi bersama,” jelas MPA Barat dalam kenyataan pada Ahad.

Majlis Penutup telah disempurnakan oleh Laksamana Muda Datuk Baharuddin Wan Md Nor bersama kepimpinan tertinggi TLDM dan TLRS.

Jelasnya, eksesais MALAPURA menjadi simbol keutuhan hubungan pertahanan antara TLDM dan TLRS.

“Selain meningkatkan keupayaan bersama dalam menangani cabaran keselamatan maritim, eksesais ini juga menggalakkan pertukaran pandangan profesional dan memantapkan integrasi operasi,” ujarnya lagi.

TLDM komited untuk memanfaatkan peluang ini bagi mengukuhkan kerjasama dengan angkatan laut sahabat dan rakan strategik demi menjamin keselamatan perairan serantau secara berterusan.

Hubungan erat seperti ini juga menjadi teras kepada usaha diplomasi pertahanan yang menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau.-airtimes.my

#TLDM #TLRS #Malaysia #Singapura #pertahanan #airtimes

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?