“Untuk isteri MALBATT- 11 saya ucapkan tahniah pada puan-puan, kita telah berjaya selama setahun berdikari, suami di sana,” ungkap Herlina Saka, isteri Kolonel Burhan Sagoni selaku Komander Kontinjen Pasukan MALBATT 850-11.
Mengharungi detik perpisahan selama setahun dan bergelut dengan emosi serta kerinduan, sudah pastinya satu cabaran yang perlu dirasai oleh para isteri anggota MALBATT 850-11 yang terpaksa berjauhan buat seketika.
Namun, jarak dan waktu bukan penghalang untuk seorang isteri mahupun ahli keluarga berputus hubungan, meskipun ‘rasa’ kedekatan dalam cara interaksi tidak sama berbanding berkomunikasi secara berhadapan.
“Yang jadi satu kerisauan adalah semasa perang semakin tegang. Pengalaman saya yang paling rasa risau adalah, bila Whatsapp tu hanya satu tick, itu yang paling merisaukan,” katanya yang menjadikan aplikasi tersebut sebagai perantara, rutin harian mereka untuk kekal saling berhubung.
Menurutnya, menghindari daripada membaca apa-apa kenyataan yang adakalanya bercanggah di media sosial merupakan salah satu cara untuk tidak tertekan akan keadaan di Lubnan.
“Kalau ada apa nak tahu bacalah daripada sumber yang betul, macam daripada ATM ataupun markas AB (Angkatan Bersama) sendiri,” sarannya kepada para isteri Kontinjen MALBATT yang terlibat.
Tambahnya lagi, berhubung dan berkongsi rasa kesusahan dengan MALBATT dan isteri-isteri anggota MALBATT 850 – 11, antara perkara yang dilakukan sesekali dalam tempoh setahun itu.

Herlina Saka mengharapkan para isteri Kontinjen MALBATT bertabah dan sentiasa mendoakan kemudahan buat suami. Foto: Air Times/ Zulhaizi
Di samping, mengharapkan para isteri bertabah dan sentiasa mendoakan kemudahan buat suami antara yang utama dan penting.
Demikian, sedia maklum memahami para isteri anggota tentera sememangnya mempunyai semangat yang kuat dan sudah terbiasa dengan keadaan tersebut.
“Kita tahu risau dengan keadaan dekat sana yang makin tegang, Alhamdulillah misi dia telah selesai selama setahun,” ujarnya yang bimbang sekiranya misi tersebut tidak selesai dalam tempoh yang telah ditetapkan ekoran keadaan yang masih tegang.
Dalam pada itu, turut menzahirkan ucapan tahniah buat para isteri Kontinjen Pasukan MALBATT 850-12, malah memperingatkan untuk menjaga kesihatan diri, di samping harus menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan ayah kepada anak-anak ketika suami menjalankan tugas bagi misi selama setahun itu.
“Kita adalah orang terpilih, kita akan berjauhan daripada suami selama setahun dan saya harap puan-puan bertabah, banyakkan berdoa itu yang paling penting,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Herlina Saka juga berterima kasih kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atas kepulangan Kontinjen MALBATT 850-11 yang telah tiba di tanah air dengan keadaan selamat, bahkan mempercayai Pasukan MALBATT telah dilatih untuk bersiap-siaga bagi misi tersebut. –airtimes.my
#Airtimes #MALBATT #Lubnan #ATM #Malaysia







