Home Pertahanan dan Keselamatan Shamsuddin dilantik Timbalan Panglima Tentera Laut yang baharu

Shamsuddin dilantik Timbalan Panglima Tentera Laut yang baharu

by Suraya Aziz

KUALA LUMPUR, 19 NOV – Laksamana Madya Dato’ Ts. Shamsuddin Hj Ludin secara rasmi memulakan tugas sebagai Timbalan Panglima Tentera Laut di Wisma Pertahanan, hari ini.

Markas Tentara Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam kenyataan pada selasa memaklumkan, Shamsuddin sebelum ini menjawat posisi sebagai Panglima Armada Barat sejak 18 Oktober 2023. 

Ketibaan Timbalan Panglima Tentera Laut di pejabat beliau dimulakan dengan bacaan doa. (Foto: TLDM)

Ketibaan beliau disambut dengan penuh penghormatan oleh Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Laksamana Muda Badarudin Taha, Asisten Ketua Staf Pentadbiran, Laksamana Pertama Kamaruddin Omar, serta barisan pengurusan tertinggi Markas Tentera Laut. 

Mengulas lanjut, sepanjang perkhidmatannya, beliau telah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk Pegawai Memerintah KD MAHAMIRU dan KD JEBAT, masing-masing menjadikan beliau Pegawai Kanan Skuadron Penangkis Periuk Api Ke-26 dan Skuadron Frigat Ke-23.

Antara lain, beliau juga pernah menabur bakti sebagai Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan di Markas Tentera Laut serta Ketua Pengarah Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan di Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).  

Laksamana Madya Dato’ Ts. Shamsuddin dalam sesi taklimat bersama ahli Jawatankuasa Laksamana TLDM Markas Tentera Laut. (Foto: TLDM)

Pengalaman beliau sudah tentu membuktikan keupayaan dan kebolehan peribadinya dalam pelbagai bidang, termasuk operasi maritim, keselamatan teknologi, serta strategi pertahanan.

Selain itu, dari sudut akademik pula, Shamsuddin memiliki Ijazah Sarjana dalam Pengurusan dan Kajian Pertahanan dari Universiti Canberra, Australia serta Ijazah Sarjana dalam Maritime Studies dari Universiti Wollongong, Australia. 

Beliau juga adalah graduan kursus Command and Staff College di Australia dan Naval Command Course di U.S Naval War College, Rhode Island.  

Bacaan doa dipimpin oleh Pengarah Cawangan Agama Markas Tentera Laut, Kolonel Ahmad Kamil bin Hj Abdullah pada hari pertama Timbalan Panglima Tentera Laut. (Foto:TLDM)

Kepakaran beliau turut diakui apabila menerima anugerah Pakar Keselamatan Siber Tahun 2021 oleh Cyber Security Malaysia dan dilantik sebagai Profesor Adjung oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Bukan itu sahaja, beliau kini diiktiraf sebagai salah seorang Profesional Teknologis oleh Lembaga Teknologis Malaysia.  

Dengan pengalaman dan pencapaian cemerlang beliau, pelantikan ini diharap dapat memperkukuhkan lagi keupayaan dan keberkesanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim dan teknologi masa kini.- Airtimes.

#TLDM #TimbalanPanglima #MINDEF #AirTimes

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!