TEHERAN, 2 MAC – Republik Islam Iran menegaskan tidak akan mengadakan sebarang rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) selepas Washington dan Tel Aviv melancarkan serangan terhadap negara itu.
Kenyataan tersebut dibuat oleh Setiausaha Dewan Keamanan Nasional Tertinggi (SNSC) Iran, Ali Larijani melalui hantaran di akaun X miliknya, hari ini.
Beliau menulis kenyataan tersebut bagi menafikan laporan media antarabangsa, The Wall Street Journal yang mendakwa beliau sedang berusaha memulakan semula perbincangan dengan AS.
Ketegangan antara Iran dan AS meletus apabila serangan udara yang dilakukan oleh AS dan Israel pada Sabtu lalu dilaporkan telah menyebabkan kematian Pemimpin Revolusi Islam Iran, Ali Khamenei.
Selain itu, serangan tersebut turut berlaku ketika Teheran dan Washington baru sahaja selesai mengadakan tiga pusingan rundingan tidak langsung di Muscat dan Geneva. Kedua-dua pihak juga sebelum ini merancang untuk memulakan perbincangan teknikal di Vienna pada Isnin lalu.
Sebagai tindak balas pantas, Iran telah melancarkan serangan peluru balistik dan dron sehala terhadap wilayah yang diduduki Israel serta pangkalan tentera AS di beberapa negara serantau.
Mengulas mengenai dakwaan Presiden AS, Donald Trump bahawa Iran ingin berunding, Larijani menyifatkan pemimpin itu sedang mengalami khayalan kosong. Beliau turut mendakwa Trump telah mengorbankan tentera Amerika demi kepentingan cita-cita Israel.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak tentera dan keluarga anggota tentera Amerika kini menanggung beban akibat pembohongan yang dilakukan oleh Trump.
Iran sebelum ini telah menggesa negara-negara jiran agar tidak membenarkan wilayah mereka digunakan oleh AS dan Israel untuk melancarkan serangan terhadap Republik Islam itu.
Kerajaan Iran turut memberi amaran akan membalas sebarang tindakan yang menggugat kedaulatan wilayah mereka.

