KUALA LUMPUR, 6 MAC – Seorang lelaki warga Bangladesh yang menjadi buruan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kerana menjadi dalang eksploitasi seksual kanak-kanak di peringkat antarabangsa telah diektradisi ke Amerika Syarikat (AS).
Perkara tersebut disahkan oleh Pengarah FBI, Kash Patel dalam satu hantaran di akaun media sosial beliau.
Suspek utama, Zobaidul Amin, 28 telah diektradisi dari Malaysia ke Alaska, AS pada pertengahan minggu ini bagi menghadapi proses pengadilan yang dijadualkan bermula dalam masa terdekat.
“Pihak FBI dan rakan kongsi hebat kami telah menahan Zobaidul Amin, 28, seorang warga Bangladesh yang dikehendaki sejak 2022 atas pelbagai pertuduhan termasuk menjalankan perusahaan eksploitasi seksual kanak-kanak antarabangsa,” kata Patel menerusi satu kenyataan.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai perkembangan kes tersebut, Patel memaklumkan bahawa proses pemindahan suspek ke wilayah Amerika Syarikat telah berjaya diselaraskan sepenuhnya dengan bantuan Malaysia.
“Sehingga malam tadi, Amin telah dipindahkan oleh FBI Anchorage dari Malaysia kembali ke Amerika Syarikat di Alaska di mana dia akan menghadapi pertuduhan. Butiran lanjut akan menyusul,” jelas beliau.
Kes ini membuka mata pemerhati antarabangsa terhadap keseriusan ancaman yang dibawa oleh sindiket eksploitasi kanak-kanak, terutamanya apabila pertuduhan melibatkan terma ‘perusahaan’.
Hal ini sering kali memberi petunjuk kepada wujudnya sebuah operasi yang terancang, berskala besar, dan bermatlamat untuk mengaut keuntungan kewangan melalui penganiayaan fizikal serta mental mangsa di bawah umur.
“Terima kasih kepada Pejabat Atase Perundangan (Legat) Kuala Lumpur, Kerajaan Malaysia, dan rakan kongsi tempatan kita di seluruh negara yang membantu dalam siasatan dan penahanan ini. Terima kasih FBI Anchorage atas kerja cemerlang dalam kes ini,” kata Patel mengakhiri kenyataannya.
Zobaidul telah ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita & Kanak-Kanak D11 Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada September 2022. – airtimes.my


