Pelancaran ujian peluru berpandu balistik antara benua (Intercontinental Ballistic Missile, ICBM) Minuteman III oleh Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) baru-baru ini menandakan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar ujian rutin.
Dalam dunia yang sedang dibayangi ketegangan geopolitik dan persaingan kuasa besar, setiap pelancaran seperti ini membawa mesej strategik yang mendalam, bahawa Washington masih berpegang pada keupayaan dan tekad untuk mempertahankan dominasi nuklearnya.
Ujian yang dikenali sebagai GT 254 atau dinamakan Glory Trip 254 itu dilaksanakan oleh Air Force Global Strike Command (AFGSC) dari Pangkalan Tentera Angkasa Vandenberg, California, dan ia melibatkan peluru berpandu Minuteman III yang tidak bersenjata dengan objektif menilai kebolehpercayaan, kesiapsiagaan operasi serta ketepatan sistem ICBM yang menjadi tunjang pertahanan strategik Amerika Syarikat.
Menurut kenyataan rasmi, pelancaran dikendalikan oleh pasukan udara daripada Skuadron Operasi Strategik ke-625 menggunakan Sistem Kawalan Pelancaran Udara (Airborne Launch Control System, ALCS) dari pesawat U.S. Navy E-6B Mercury.
“GT 254 bukan sekadar pelancaran, ia merupakan penilaian menyeluruh bagi mengesahkan keupayaan sistem ICBM melaksanakan misi kritikalnya,” kata Leftenan Kolonel Karrie Wray, Komander Skuadron Ujian Penerbangan ke-576.
AFGSC turut menjelaskan bahawa data yang dikumpul daripada pelancaran tersebut amat penting bagi memastikan sistem ICBM kekal boleh dipercayai dan tepat sepanjang tempoh perkhidmatannya. Pelaksanaan ujian turut bagi menilai keberkesanan sistem kawalan dan arahan sandaran bagi pasukan ICBM, selaras dengan piawaian keselamatan ketat Tentera Udara Amerika Syarikat.
“Ujian ini membuktikan keandalan, kebolehsuaian dan modulariti sistem senjata itu,” kata Kolonel Dustin Harmon, Komander Kumpulan Ujian dan Penilaian ke-377.
Beliau turut menegaskan, bahawa pasukannya memainkan peranan penting dalam memastikan tahap integriti dan kebolehpercayaan tertinggi bagi sistem ICBM negara.
Kumpulan Ujian dan Penilaian ke-377 merupakan satu-satunya unit dalam Tentera Udara AS yang bertanggungjawab terhadap perancangan serta pelaksanaan ujian pelancaran ini. Dalam pelancaran GT-254, kenderaan re-entry vehicle tidak bersenjata itu menempuh jarak kira-kira 4,200 batu ke Tapak Ujian Pertahanan Peluru Berpandu Balistik Ronald Reagan di Atol Kwajalein, Republik Kepulauan Marshall.
Tapak Ujian Barat di Vandenberg dilengkapi dengan radar beresolusi tinggi, penderia optik serta sistem telemetri untuk mengumpul data penerbangan secara terperinci. Data tersebut akan dianalisis bagi menilai prestasi sistem serta menyokong program penyelidikan dan pembangunan pertahanan serta angkasa Amerika Syarikat.
Selain itu, anggota udara daripada ketiga-tiga sayap peluru berpandu AFGSC turut menyertai pasukan khas yang menyokong ujian ini, termasuk pasukan juruteknik penyelenggaraan dari Sayap Peluru Berpandu ke-90 di Pangkalan Udara F.E. Warren, Wyoming turut menyediakan sokongan teknikal.
“Ketika kita beralih kepada sistem senjata LGM-35A Sentinel, kita mesti terus memastikan kesiapsiagaan armada Minuteman III yang sedia ada. GT 254 membantu memenuhi komitmen itu dengan memastikan ketepatan dan kebolehpercayaannya kekal terjamin,” kata Jeneral S.L. Davis, Komander AFGSC.
Sistem legasi yang masih relevan

Minuteman III bukanlah sistem baharu. Ia diperkenalkan dan mula beroperasi sejak awal 1970-an, ketika Perang Dingin memuncak. Namun, keupayaannya kekal relevan hingga kini menjadikannya antara sistem senjata paling lama berkhidmat dalam sejarah ketenteraan moden.
Walaupun dunia kini menyaksikan perlumbaan membangunkan peluru berpandu generasi baharu dengan keupayaan lebih pantas dan berteknologi tinggi, Minutemann III terus berfungsi sebagai tonggak kepada doktrin pencegahan nuklear (nuclear deterrence) Amerika Syarikat.
Falsafah di sebalik keberlangsungan sistem ini berasaskan kebolehpercayaan dan konsistensi. Melalui siri ujian berkala seperti GT 254, Washington memastikan bahawa walaupun sistem ini berusia, ia masih mampu melaksanakan misi strategik dengan ketepatan tinggi.
Dalam konteks geopolitik semasa, langkah ini menjadi simbol komitmen Amerika terhadap keselamatan sekutunya di bawah “nuclear umbrella” yang meliputi Eropah dan Asia.
Implikasi terhadap kestabilan global
Namun, setiap pelancaran ujian nuklear juga membawa kesan psikologi terhadap kesimbangan global. Bagi Rusia, China, dan Korea Utara, pelancara sebegini sering dianggap sebagai isyarat kekuatan dan amaran strategik daripada Amerika. Dalam keadaan hubungan antarabangsa yang sudah tegang, terutamanya akibat konflik di Ukraine serta ketegangan di Indo-Pasifik, ujian sebegini berpotensi mencetuskan tindak balas politik dan ketenteraan yang sukar dijangka.
Perjanjian New START antara Amerika Syarikat dan Rusia menjadi satu-satunya perjanjian utama yang masih mengawal jumlah senjata nuklear strategik kedua-dua negara. Namun, ia bakal tamat pada 2026 tanpa jaminan lanjutan.
Tanpa mekanisme kawalan baharu, dunia mungkin berdepan era tanpa sekatan nuklear rasmi buat pertama kali sejak lima dekad lalu. Pada masa yang sama, China terus memperluas arsenalnya dan dijangka memiliki lebih 1,000 kepala peledak nuklear menjelang akhir dekad ini, menurut laporan Pentagon.
Dalam konteks ini, setiap langkah ujian Amerika seperti GT 254 bukan sahaja menegaskan kemampuan pertahanannya, tetapi turut memperkukuh persepsi bahawa dunia kini sedang beralih semula ke arah perlumbaan senjata nuklear yang baharu dan dalam dimensi yang lebih kompleks serta teknologi lebih maju.
Simbol paradoks dunia moden

Ujian Minuteman III bukan sekadar demonstrasi teknologi, tetapi satu kenyataan strategik bahawa Amerika Syarikat masih berpegang pada prinsip pencegahan nuklear sebagai asas kestabilan global. Namun, kestabilan ini semakin rapuh. Ketika kuasa besar saling memperkukuh arsenal masing-masing, keseimbangan yang dicipta melalui ketakutan boleh menjadi tidak menentu.
Sistem legasi seperti Minuteman III kini berdiri sebagai simbol paradoks dunia moden, keamanan yang dikekalkan melalui ancaman kehancuran sepenuhnya. Maka, persoalan besar yang wajar direnungi ialah: sampai bila manusia boleh bergantung kepada ancaman nuklear untuk mengekalkan keamanan? -airtimes.my
#AirTimes #PertahananGlobal #USAF #ICBM #MinutemanIII #GT254 #Sentinel #AFGSC #UjianPeluruBerpandu #AmerikaSyarikat










