Home DiskusiPerang saudara Sudan: Perebutan kuasa antara dua Jeneral

Perang saudara Sudan: Perebutan kuasa antara dua Jeneral

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

Lebih setahun selepas letusan pertempuran di ibu negara Khartoum, konflik Sudan terus memburuk dengan tiada tanda ianya akan berakhir. Perang saudara antara Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) terus melemahkan struktur negara yang sudah rapuh sejak kejatuhan pemerintahan Omar al-Bashir. Pertempuran yang pada asalnya berasaskan perebutan kuasa kini berkembang menjadi peperangan penuh yang menjejaskan kestabilan rantau Afrika Timur.

Punca sebenar konflik ini berakar daripada perpecahan dalam pasukan keselamatan negara, pada tahun 2019 SAF dan RSF bersatu menumbangkan Bashir, diktator yang memerintah Sudan lebih tiga dekad. Namun, kerjasama itu tidak bertahan lama.

Pertikaian tentang pelan peralihan kuasa kepada pemerintahan awam dan rancangan untuk menggabungkan RSF ke dalam tentera menyebabkan ketegangan antara dua jeneral utama Abdel Fattah al-Burhan yang mengetuai SAF dan Mohamed Hamdan Dagalo atau “Hemedti” yang memimpin RSF. Perselisihan ini akhirnya meletus menjadi perang pada April 2023, dengan Khartoum sebagai medan pertama.

Ketua RSF Mohamed Hamdan Dagalo (kiri) dan ketua SAF Abdel Fattah al-Burhan (kanan)

Perang ini memperlihatkan satu pola yang rumit. RSF, yang berasal daripada milisi Janjaweed di Darfur, memiliki kelebihan dalam pergerakan pantas dan operasi darat. Pasukan ini menguasai kawasan strategik melalui serangan mendadak dan kawalan logistik di barat negara. SAF pula memiliki kekuatan udara dan sumber artileri berat, namun menghadapi cabaran besar dalam mengekalkan kawalan bandar yang padat. Perang bandar yang berpanjangan ini mengubah Khartoum menjadi zon pertempuran, di mana setiap jalan dan bangunan menjadi posisi taktikal yang dipertahankan dengan sengit.

Kawasan Darfur kini menjadi tumpuan Utama, RSF dilaporkan menguasai sebahagian besar wilayah itu termasuk bandar El Fasher, manakala SAF mengekalkan kubu di kawasan utara. Pertempuran di Darfur bukan sekadar perebutan tanah tetapi juga kawalan terhadap sumber penting seperti lombong emas dan laluan perdagangan ke Chad dan Libya. Kawalan ke atas sumber ini memberi kelebihan kewangan besar untuk menampung operasi ketenteraan masing-masing. Dalam konteks pertahanan, siapa yang menguasai Darfur menguasai pintu masuk barat Sudan.

Namun, kemenangan taktikal di medan perang membawa harga yang amat tinggi. Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 10 juta rakyat Sudan kini kehilangan tempat tinggal, manakala ratusan ribu lagi melarikan diri ke negara jiran. Infrastruktur asas seperti hospital, sekolah dan bekalan elektrik musnah akibat serangan udara dan pertempuran darat. Di sesetengah kawasan, kelaparan dan penyakit berjangkit sudah menjadi senjata senyap yang membunuh lebih ramai daripada peluru.

Lebih 10 juta rakyat Sudan kini kehilangan tempat tinggal, manakala ratusan ribu lagi melarikan diri ke negara jiran. FOTO: Hiasan

Dari perspektif strategik, perang Sudan kini memasuki fasa yang membimbangkan. Kedua-dua pihak masih berkeyakinan bahawa kemenangan ketenteraan mampu menyelesaikan krisis. Namun, keadaan di lapangan menunjukkan jalan buntu.

Tiada pihak yang memiliki kekuatan mencukupi untuk menang mutlak, sementara keruntuhan sistem pentadbiran membuka ruang kepada campur tangan kuasa serantau yang berkepentingan. Terdapat laporan bahawa beberapa negara luar membekalkan sokongan senjata dan logistik kepada pihak-pihak tertentu bagi melindungi pengaruh mereka di Afrika Timur.

Dari segi keselamatan serantau, konflik ini berisiko merebak melampaui sempadan Sudan. Kemasukan pelarian dalam jumlah besar ke Chad, Mesir dan Sudan Selatan telah meningkatkan tekanan politik dan ekonomi kepada negara jiran. Selain itu, kewujudan laluan penyeludupan senjata dan bahan api dari Libya ke Darfur menambah cabaran kepada keselamatan serantau. Jika tidak dibendung, Sudan boleh menjadi pusat ketidakstabilan baharu di Afrika yang menyaingi Syria di Timur Tengah dari segi kemusnahan dan kejatuhan struktur negara.

Angkatan Bersenjata Sudan (SAF). FOTO: Hiasan

Bagi komuniti antarabangsa, usaha diplomasi setakat ini belum berhasil. Rundingan yang dianjurkan oleh Arab Saudi, Amerika Syarikat dan Kesatuan Afrika sering tergendala apabila kedua-dua pihak menolak kompromi. Tekanan ekonomi dan sekatan pula tidak cukup kuat untuk memaksa perubahan sikap. Dalam keadaan ini, medan tempur akan terus menjadi penentu utama, dan perang berisiko berlarutan sehingga ke tahun hadapan.

Selain itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggesa rundingan segera bagi menamatkan pertempuran di Sudan selepas pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) menawan bandar El Fasher.Dalam satu kenyataan, jurucakap Guterres, Stephane Dujarric menggesa SAF dan RSF supaya segera menghubungi utusan khasnya ke Sudan, Ramtane Lamamra dan mengambil langkah pantas dan nyata ke arah penyelesaian melalui rundingan.

Beliau berkata ketua PBB itu “amat bimbang” dengan peningkatan pertempuran baru-baru ini dan mengecam pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang dilaporkan.Walaubagaimanapun, kini rakyat Sudan yang paling terkesan, mereka menjadi saksi kepada kehancuran negara yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai salah satu kuasa pertanian terbesar di Lembah Nil. Setiap letupan di Khartoum, setiap serangan di Darfur, mengikis sedikit demi sedikit harapan untuk sebuah Sudan yang bersatu dan aman.

Dalam dunia pertahanan, peperangan seperti ini menjadi peringatan bahawa kekuatan senjata tanpa penyelesaian politik hanya akan membawa kehancuran jangka panjang. -airtimes.my

#AirTimes #PerangSaudara #KonflikSudan #RSF #SAF #Global

Related Articles

Leave a Reply