Home DiskusiKonflik AS-Venezuela: Operasi antidadah atau isyarat perang?

Konflik AS-Venezuela: Operasi antidadah atau isyarat perang?

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

Hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan Venezuela dilihat bertambah tegang selepas Washington memperluas operasi antidadahnya di Laut Caribbean, langkah yang disifatkan oleh Caracas sebagai provokasi ketenteraan dan ancaman terhadap kedaulatan negara itu.

Isu penyeludupan dadah yang menjadi alasan utama operasi tersebut kini berkembang menjadi perbalahan geopolitik yang melibatkan kepentingan strategik, keselamatan serantau dan pengaruh kuasa besar.

Dalam tempoh dua bulan, AS dilaporkan telah membina kehadiran ketenteraan besar di rantau Caribbean yang melibatkan kapal perang, pesawat pengintip dan aset udara tanpa pemandu AS yang sekaligus telah meningkatkan rondaan berhampiran perairan Venezuela dan Colombia.

Foto tangkap layar memaparkan tentera AS memusnahkan bot dadah Venezuela yang didakwa, membunuh tiga. FOTO: Hiasan

Menurut laporan antarabangsa, serangan udara dan laut oleh tentera AS terhadap bot penyeludup telah mengorbankan sekurang-kurangnya 64 orang dalam tempoh dua bulan. Angka korban itu menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana tindakan tersebut mematuhi undang-undang antarabangsa, apatah lagi apabila beberapa insiden berlaku di luar kawasan perairan yang diiktiraf di bawah mandat antidadah.

Susulan serangan itu, pihak Caracas menuduh Washington menggunakan isu dadah sebagai alasan untuk melancarkan tekanan ketenteraan dan politik terhadap kerajaan Nicolás Maduro. Presiden Venezuela itu menegaskan bahawa negaranya kini berdepan “perang hibrid” yang melibatkan sekatan ekonomi, operasi risikan dan provokasi ketenteraan.

Beliau telah mengarahkan penempatan 15,000 anggota tentera di sempadan Colombia serta mengaktifkan lebih 4.5 juta militia bagi memperkukuh pertahanan negara selain turut meningkatkan kesiapsiagaan armada tentera laut negara itu.

Selain itu, menurut laporan BBC, Venezuela telah memperkukuh kawalan di pelabuhan dan pesisirnya, termasuk menggerakkan pesawat pengintip buatan tempatan serta kapal peronda untuk memantau pergerakan tentera asing di sekitar perairannya. Langkah itu menandakan kebimbangan bahawa operasi Amerika boleh berubah menjadi konflik terbuka sekiranya berlaku salah tafsir atau pertembungan tidak disengajakan.

Presiden Venezuela Nicolás Maduro

Peningkatan operasi ketenteraan AS di perairan Caribbean serta kehadiran kapal pemusnah, pesawat pengebom strategik dan aset marin di Caribbean dilihat bukan lagi sekadar misi antidadah, sebaliknya satu isyarat politik untuk mengekang pengaruh kuasa lain seperti Rusia, China dan Iran yang semakin rapat dengan Venezuela.

Rusia sebelum ini mengesahkan penghantaran peralatan tentera serta penasihat ketenteraan ke Caracas, manakala China pula mengekalkan hubungan perdagangan dan teknologi yang rapat dengan Venezuela. Situasi ini menjadikan negara tersebut medan persaingan pengaruh antara blok Barat dan Timur, sama seperti yang berlaku di Timur Tengah dan Afrika Utara.

Washington menegaskan bahawa operasinya berlandaskan undang-undang antarabangsa dan kerjasama serantau. Jurucakap Pentagon berkata, rondaan tentera laut AS dilakukan bersama beberapa negara sekutu di Caribbean bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan. Namun, Caracas melihat usaha tersebut sebagai bentuk tekanan politik terhadap kerajaan Maduro yang bakal berdepan pilihan raya pada tahun hadapan.

Pasukan Marin AS ketika turun dari kapal semasa latihan di Arroyo, Puerto rico. FOTO: Hiasan

Presiden AS Donald Trump, ketika ditemu bual oleh program 60 Minutes di CBS, menolak dakwaan bahawa Washington akan berperang dengan Venezuela. Namun, beliau memberi amaran bahawa masa depan Nicolás Maduro sebagai presiden Venezuela semakin singkat. “Saya ragu. Saya tidak fikir begitu. Tetapi mereka telah melayan kita dengan sangat buruk,” kata Trump ketika menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan perang.

Trump menjelaskan bahawa operasi ketenteraan yang sedang dijalankan adalah sebahagian daripada misi besar untuk mengekang penyeludupan dadah ke negaranya. Menurutnya, setiap bot yang dimusnahkan membawa makna besar dalam usaha memerangi pengedaran dadah. “Setiap bot yang ditembak jatuh menyelamatkan 25,000 nyawa daripada dadah dan menghentikan kemusnahan keluarga di seluruh negara,” ujarnya.

Trump dalam masa yang sama menyerang Venezuela secara terbuka dengan menuduh negara itu menjadi sarang kumpulan jenayah antarabangsa. “Mereka datang dari Congo, mereka datang dari seluruh dunia, tetapi Venezuela khususnya sangat teruk. Mereka mempunyai geng,” katanya sambil merujuk kepada kumpulan Tren de Aragua yang disifatkannya sebagai “kumpulan jenayah paling kejam di dunia”.

Presiden AS, Donald Trump

Meskipun AS menegaskan tindakannya tertumpu kepada memerangi jenayah terancang dan penyeludupan dadah, persepsi di Amerika Latin berbeza. Banyak negara melihat tindakan Washington sebagai cubaan mengembalikan pengaruhnya yang semakin merosot di rantau tersebut.

Venezuela yang memiliki rizab minyak terbesar dunia, dianggap penting dalam keseimbangan tenaga global. Sekiranya konflik tercetus, kesannya akan menjangkau jauh melebihi sempadan Caribbean, termasuk gangguan terhadap laluan perdagangan antarabangsa.

Dengan kedua-dua pihak kini meningkatkan kesiapsiagaan tentera, risiko salah tafsir atau insiden pertembungan menjadi semakin tinggi. Soalnya, adakah operasi antidadah ini benar-benar bertujuan membanteras jenayah, atau sekadar membuka jalan kepada tekanan geopolitik yang lebih besar terhadap Venezuela?.

Dalam keadaan ekonomi Venezuela yang masih tertekan akibat sekatan antarabangsa dan inflasi yang tinggi, sebarang konflik baharu bakal menambah penderitaan rakyatnya. Namun bagi Washington, tindakan tegas dianggap perlu bagi mengekang kegiatan jenayah transnasional yang dikaitkan dengan Venezuela.

Laut Caribbean kini menjadi pentas ketegangan baharu antara Amerika Syarikat dan Venezuela. Apa yang bermula sebagai misi menentang dadah telah berkembang menjadi pertarungan kuasa, di mana setiap langkah kapal perang dan pesawat pengintip membawa mesej politik tersendiri. Dunia kini menanti sama ada pertikaian ini akan kekal sebagai permainan geopolitik, atau mencetuskan krisis terbuka yang menggugat kestabilan rantau itu. –airtimes.my

#AirTimes #AS #Venezuela #Konflik #Geopolitik #Caribbean #Ketenteraan #Dadah

Related Articles

Leave a Reply