BEIRUT, 25 SEPT – Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) mengesahkan sebuah dron milik Israel terhempas di dalam kawasan markas utamanya di Naqoura pada petang semalam, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Pihak UNIFIL dalam satu hantaran di saluran rasmi mereka, berkata pasukan pengaman yang berkemahiran dalam pelupusan bahan letupan segera mengawal kawasan terbabit dan berjaya meneutralkan peranti itu.
Pemeriksaan mendapati dron berkenaan tidak bersenjata dan hanya dilengkapi kamera.
Tentera Pertahanan Israel (IDF) kemudian mengesahkan dron itu adalah milik mereka.
Menurut UNIFIL, anggota pasukan pengaman telah bersedia untuk bertindak mempertahankan diri daripada ancaman keselamatan ketika UAV tersebut terjatuh dengan sendirinya.
Bagaimanapun, UNIFIL menegaskan bahawa penerbangan dron Israel di ruang udara selatan Lubnan merupakan pelanggaran terhadap Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB dan kedaulatan Lubnan.
“UNIFIL mengambil serius sebarang campur tangan atau ancaman terhadap anggota, fasiliti atau operasi kami dan akan membuat bantahan rasmi terhadap tindakan ini,” kata jurucakapnya kenyataan itu.
UNIFIL menambah bahawa meskipun berdepan cabaran sebegini, pasukan pengaman tetap komited melaksanakan tugas secara berkecuali dan konsisten dalam menyokong keselamatan serta kestabilan di selatan Lubnan, yang menurut mereka semakin terancam akibat pelanggaran berterusan. – airtimes.my
#AirTimesNewsNetwork #UNIFIL #Naqoura #UAV #IDF #Israel #Lubnan


