Home Pertahanan dan Keselamatan Panglima Tentera Darat seru sinergi Indo-Pasifik tangani cabaran keselamatan moden

Panglima Tentera Darat seru sinergi Indo-Pasifik tangani cabaran keselamatan moden

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 24 SEPT – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan menegaskan bahawa angkatan darat di rantau Indo-Pasifik mesti membina sinergi dan kerjasama erat untuk menghadapi cabaran keselamatan moden yang semakin kompleks.

Beliau berkata kekuatan ketenteraan tidak boleh dibentuk secara bersendirian, sebaliknya melalui perkongsian, pembelajaran dan interaksi berterusan antara negara serantau.

“Tema kita, Forging Synergy: Transforming Multinational Land Power Networks through Open Contact, menekankan bahawa kekuatan sejati tidak lahir daripada berdiri sendiri tetapi melalui perkongsian dan sinergi sesama kita,” katanya semasa menyampaikan ucapan aluan pada Persidangan Panglima Tentera Darat Indo-Pasifik ke-14 (IPACC), Seminar Pengurusan Tentera Darat Indo-Pasifik ke-49 (IPAMS) dan Forum Pemimpin Kanan Bersenjata ke-11 (SELF) di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengingatkan bahawa rantau ini berdepan cabaran tradisional dan bukan tradisional. Ini termasuk ancaman siber, perubahan iklim dan krisis kemanusiaan yang tidak boleh ditangani secara bersendirian.
“Tiada negara mampu berdiri sendiri. Keselamatan kolektif kita bergantung pada rangkaian kerjasama dan perkongsian yang kukuh,” tegasnya.

Menurut beliau, Malaysia komited untuk terus memajukan keselamatan serantau melalui kerjasama multilateral dan pendekatan terbuka.

“Kita adalah jiran kerana geografi, tetapi pilihan kita yang menjadikan kita rakan kongsi. Tindakan kita hari ini akan menentukan kestabilan dan keselamatan Indo-Pasifik untuk generasi akan datang,” katanya.

Panglima Tentera Darat turut menekankan peranan sidang IPACC, IPAMS dan SELF 2025 sebagai platform penting membina kepercayaan, saling memahami dan mengukuhkan hubungan antara tentera darat di rantau Indo-Pasifik. – airtimes.my

#AirTimesNewsNetwork #PertahananKeselamatan #TenteraDarat #IndoPasifik #IPACC #IPAMS #SELF

Leave a Reply