WASHINGTON, 23 SEPTEMBER – Lockheed Martin melalui bahagian Skunk Works memperkenalkan Vectis, pesawat tempur tanpa pemandu (UAV) kelas Group 5 yang direka untuk meningkatkan keupayaan tempur kolaboratif generasi baharu serta menjamin dominasi udara Amerika Syarikat dan sekutunya.
Syarikat itu menyatakan Vectis menggabungkan pengalaman luas Lockheed Martin dalam pembangunan pesawat pejuang, sistem autonomi dan seni bina misi terbuka bagi memenuhi keperluan peperangan moden dengan kos serta kelajuan pengeluaran yang kompetitif.
“Vectis adalah hasil kepakaran kami dalam integrasi sistem kompleks, pembangunan jet pejuang dan teknologi autonomi. Kami tidak sekadar membina platform baharu, tetapi mencipta paradigma baharu kuasa udara yang berasaskan dron fleksibel, berkemampuan tinggi dan berdaya saing,” kata OJ Sanchez, Naib Presiden dan Pengurus Besar Skunk Works.
Vectis direka untuk beroperasi bersama pesawat generasi kelima dan seterusnya, termasuk F-35, melalui sistem kawalan bersama MDCX yang memastikan keserasian dalam spektrum arahan dan kawalan. UAV ini mampu melaksanakan pelbagai misi seperti serangan tepat, risikan dan pengawasan (ISR), peperangan elektronik serta operasi udara serangan dan pertahanan. Ia turut dilengkapi jangkauan operasi yang sesuai bagi keperluan Indo-Pasifik, Eropah dan Pusat Pemerintahan Amerika Syarikat.
Lockheed Martin menekankan bahawa Vectis dibangunkan dengan teknologi siluman terkini yang memberikan tahap kebolehsintasan terbaik dalam kelasnya. Pembangunan ini turut menggunakan teknik kejuruteraan digital dan pengeluaran moden yang menjadikan pesawat itu lebih kos efektif serta mampu dimiliki pada harga UAV tempur kelas CCA. Seni bina sistem terbuka pula membolehkan ia mengelak pergantungan vendor sekali gus meningkatkan fleksibiliti operasi.
Menurut syarikat itu, pembangunan Vectis kini sedang berlangsung dengan komponen sudah ditempah manakala pasukan teknikal telah memulakan proses pembinaan dan ujian. Skunk Works menyasarkan untuk mereka bentuk, membina dan menerbangkan Vectis dalam tempoh dua tahun.
“Dengan Vectis, kami membawa visi berani untuk menyampaikan pesawat tempur tanpa pemandu yang mampu bertahan dalam persekitaran paling mencabar, sambil menyediakan keupayaan misi pada kos agresif dan tempoh pembangunan pantas,” tambah Sanchez.– airtimes.my
#AirTimesNewsNetwork #TeknologiPertahanan #LockheedMartin #Vectis #SkunkWorks #UAV





